Pejam celik, dah masuk minggu keempat Gegar Vaganza Fantasia. Semakin minggu, semakin menarik persaingan antara peserta yang masing-masing mempunyai kekuatan dan keunikan vokal tersendiri.
Seperti biasa, saya ingin berkongsi sedikit pandangan peribadi saya mengenai persembahan kesemua 13 orang peserta pada malam ini, beserta komen daripada barisan juri profesional. Kadang-kadang apa yang sedap pada pendengaran kita, belum tentu sedap pada pendengaran juri. Hehe.
Jom kita lihat satu persatu!
1. Ara Johari AF2016 – Tiada Tangis Lagi (Ella)
Komen saya: Persembahan Ara Johari sangat bertenaga. Memang bukan mudah nak membawakan lagu Ella, apatah lagi dengan karakter vokal Ella yang cukup tersendiri.
Datuk Ramli MS: Ara mempunyai tone suara yang sangat unik dan tidak dimiliki oleh penyanyi lain. Range vokalnya juga besar. Namun, Ara perlu mempelajari teknik breathing dynamics dengan lebih baik. Sekiranya berjaya menguasai teknik tersebut, persembahannya boleh menjadi lebih WOW! Ara perlu menunjukkan lebih banyak lagi kelebihan yang dimilikinya.
2. Faizul AF2013 – Itu Kamu (Estranged)
Komen saya: Lagu ini memang fun dan Faizul sendiri kelihatan sangat enjoy ketika membuat persembahan. Cuma saya rasa Faizul banyak menaikkan nada pada bahagian-bahagian yang kurang sesuai. Kadang-kadang tak perlu pun nak naikkan nada, dah cukup sedap sebenarnya.
Datuk Syafinaz: Dari segi nyanyian, tiada masalah. Suara sedap, tone sedap dan kawalan vokal juga baik. Namun, Faizul kelihatan agak kekok ketika berada di atas pentas. Perkara tersebut perlu diperbaiki. Datuk Syafinaz turut mempersoalkan mengapa apabila menyanyikan lagu rock, mesti nak berdiri dengan kaki terkangkang-kangkang. Haha.
3. Farah AF2 – Samar Bayangan (Nicky Astria)
Komen saya: Vokal Farah sebenarnya masih hebat. Apa yang saya suka mengenai vokal Farah sekarang adalah nada rendahnya yang sangat sedap dan agak gemersik. Cuma apabila masuk ke bahagian nada tinggi, ada beberapa nada yang kurang tepat pada pendengaran saya.
Bunda Hetty Koes Endang: Dari segi dinamika, nyanyian pada nada rendah sudah baik dan kelembutan yang diperlukan dalam lagu ini berjaya disampaikan. Namun, apabila masuk ke bahagian chorus, terdapat banyak nada yang sharp kerana Farah terlalu beremosi. Bunda turut mencadangkan agar Farah menggunakan elemen pakaian dalam membantu menyampaikan emosi lagu.
4. Felix AF2 – Kita Ditakdirkan Jatuh Cinta (Spring)
Komen saya: Nyanyian Felix sangat rileks dan tenang. Vokalnya sangat terkawal dan tone suara Felix memang sedap untuk lagu sebegini. Sepanjang persembahan, saya hampir tidak mendengar sebarang kesilapan nada yang ketara. Nyanyiannya juga mempunyai sedikit permainan dinamik yang menjadikan lagu ini lebih menarik. Sedap!
Datuk Ramli MS: Felix kelihatan sangat cool, tenang dan rileks, tetapi bunyi yang dihasilkan adalah nombor satu. Menurut Tok Ram, persembahan dengan jiwa sebegini memang disukai oleh orang-orang kampung. Beliau menyukai persembahan Felix pada malam ini.
5. Firman AF2014 – Semalam Yang Hangat (Wings)
Komen saya: Vokal Firman ni memang sangat kena dengan lagu-lagu rock. Karakter suaranya cukup sesuai dan dari segi vokal, memang sangat baik persembahannya pada malam ini.
Datuk Syafinaz: Beliau mempersoalkan sejauh mana Firman memahami maksud lagu ini. Berdasarkan liriknya, lagu ini menceritakan sesuatu yang menyakitkan sebelum seseorang itu meneruskan kehidupannya. Namun, terdapat beberapa bahagian yang sepatutnya Firman tidak perlu tersenyum ketika menyanyikannya.
Secara keseluruhan, vokalnya sangat baik dan hanya terdapat sedikit nada yang kurang tepat. Datuk Syafinaz turut memberikan markah tinggi untuk nota terakhir yang dinyanyikan oleh Firman. Menurut beliau, teknik yang digunakan pada nota tersebut adalah head voice, bukannya falsetto.
6. Faizal AF4 – Selingkar Kasih (REM)
Komen saya: Nyanyian Faizal kali ini seakan-akan cuba meniru cara nyanyian penyanyi asal, REM. Saya rasa Faizal boleh memberikan lebih daripada apa yang dipersembahkannya pada malam ini. Nak dengar karakter Faizal sendiri sebenarnya.
Bunda Hetty Koes Endang: Ketika mula menyanyi, nada yang dilontarkan sudah kurang tepat. Faizal juga perlu berhati-hati dengan teknik pernafasan. Menjelang penghujung lagu, tempo nyanyiannya sedikit mendahului muzik band. Bagaimanapun, Bunda menyukai lontaran nada pada bahagian koda yang cukup tepat. Latihan pernafasan perlu dipertingkatkan.
Datuk Ramli MS: Terdapat sedikit kesalahan lirik. Namun, beliau tidak pasti sama ada lirik yang diberikan kepada Faizal itu sendiri mempunyai kesalahan.
Datuk Syafinaz: Faizal tidak sepatutnya meniru gaya penyanyi asal seperti ketika berada dalam Akademi Fantasia dahulu. Juri mahu mendengar identiti dan karakter sebenar Faizal sebagai seorang penyanyi.
7. Vince AF1 – All of Me (John Legend)
Komen saya: Vokal Vince sebenarnya OK. Persembahannya kali ini juga tidak terlalu mengikut versi asal lagu nyanyian John Legend. Cuma pada pendengaran saya, terdapat agak banyak nada yang flat sepanjang persembahannya.
Datuk Ramli MS: Satu perkara yang perlu diperbaiki oleh Vince adalah stage fright atau perasaan gemuruh ketika berada di atas pentas. Menurut Tok Ram, Vince kehilangan kira-kira 40% daripada kemampuan persembahannya dan terdapat masalah underpitch dalam nyanyiannya.
8. Zahid AF2 – Sekadar di Pinggiran (Francisca Peter)
Komen saya: Wah! Saya sangat suka persembahan Zahid kali ini. Vokalnya sangat clean dan stabil. Zahid sendiri kelihatan cukup tenang ketika menyanyi.
Susunan muzik lagu ini juga sangat fresh dan menarik. Kehadiran penari di atas pentas bukan sekadar pelengkap, malah membantu memberikan impak yang lebih besar kepada keseluruhan persembahan.
So far, pada saya inilah persembahan terbaik malam ini ketika itu.
Datuk Syafinaz: Zahid memulakan persembahan dengan nada tinggi sebelum turun ke nada rendah. Beliau menyukai kestabilan vokal Zahid sepanjang persembahan walaupun terdapat sedikit kekurangan di sana sini. Nada tinggi berjaya dilepaskan dan sampai dengan baik.
Namun, template persembahan Zahid dilihat agak serupa dengan minggu sebelumnya. Keyakinannya semakin baik, tetapi kawalan perlu dipertingkatkan dan Zahid perlu memberikan kelainan dalam setiap persembahan. Overall, bagus!
9. Shahir AF8 – Purnama (Naim Daniel)
Komen saya: Saya sebenarnya memang suka dengan karakter vokal Shahir. Ada sesuatu yang menarik mengenai tone suara beliau. Secara keseluruhan, saya suka bagaimana Shahir membawakan lagu Purnama pada malam ini.
Bunda Hetty Koes Endang: Susunan muzik sangat baik, pencahayaan cantik dan Bunda turut menyukai bahagian koda lagu ini. Namun, terdapat banyak nota yang kurang sampai. Bunda turut mempersoalkan sama ada penggunaan earphone mengganggu pendengaran Shahir ketika menyanyi.
Shahir perlu terus berlatih untuk memperbaiki nada rendahnya, manakala lontaran nada tinggi sudah cukup baik.
10. Akim AF7 – Mahakarya Cinta (Faizal Tahir)
Komen saya: Kalau tak silap saya, Akim pernah mengajar lagu ini kepada peserta pertandingan realiti ketika beliau menjadi juri. Hari ini, beliau sendiri berpeluang menyanyikan lagu tersebut.
Sebenarnya, lagu Mahakarya Cinta ini memang sesuai dengan tone suara Akim. Cuma saya agak terganggu dengan bahagian-bahagian lagu yang dipotong untuk persembahan ini. Saya rasa mungkin Akim sendiri sedikit terganggu dengan perubahan tersebut.
Ada beberapa bahagian nyanyian yang kedengaran sedikit awkward. Namun, overall masih merupakan satu persembahan yang baik.
Datuk Ramli MS: Outfit Akim cantik. Dari awal hingga akhir persembahan, keseimbangan nyanyian dan teknik pernafasannya baik. Cuma terdapat sedikit tempo yang lari dan beberapa bahagian nada rendah yang perlu diperbaiki.
Pada tahap Akim sekarang, juri mahukan sesuatu yang lebih terperinci dan segala kekurangan kecil ini perlu diperbaiki pada minggu-minggu akan datang.
11. Stacy AF6 – Purnama Merindu (Dato' Sri Siti Nurhaliza)
Komen saya: Apa yang saya suka tentang persembahan Stacy adalah beliau membawakan lagu ini dengan identiti tersendiri. Langsung tidak cuba untuk berbunyi seperti Dato' Sri Siti Nurhaliza.
Vokal Stacy pada nada rendah sangat sedap. Apabila masuk ke nada tinggi, vokalnya mula kedengaran agak keras, tetapi itulah antara trademark nyanyian Stacy yang kita kenali selama ini. Overall, bagus!
Datuk Syafinaz: Stacy berjaya menyanyikan lagu ini dengan gaya tersendiri. Nada rendahnya sangat cantik, manakala nada tinggi kedengaran lebih keras dan moden. Stacy mempunyai banyak idea dalam persembahannya, walaupun pelaksanaan pada bahagian awal sedikit goyah.
Lower range Stacy sangat beautiful. Namun, teknik nyanyian pada nada tinggi masih perlu diperbaiki. Stacy perlu mengurangkan tekanan pada tekak dan menggunakan lebih banyak teknik mixed voice supaya nada tinggi tidak kedengaran terlalu keras.
12. Mila AF5 – Sampai Bila (Misha Omar)
Komen saya: Nyanyian Mila kali ini memang sangat feel! Dari segi pitching, sangat cantik pada pendengaran saya. Persembahannya juga bertenaga dan emosi lagu berjaya disampaikan dengan baik.
Cuma ada satu bahagian yang saya rasa temponya sedikit lari, tetapi tidak begitu ketara. Secara keseluruhannya, saya sangat suka persembahan Mila pada malam ini.
Bunda Hetty Koes Endang: Untuk Mila, hanya satu perkataan daripada Bunda – GEPREK! Persembahan Mila pada malam ini menurut Bunda adalah spectacular!
13. Mawi AF3 – Suci Dalam Debu (Iklim)
Komen saya: Vokal Mawi ni memanglah bagus. Saya rasa Mawi masuk Gegar Vaganza Fantasia ni untuk enjoy sahaja kot. Sebab tu setiap kali menyanyi, beliau kelihatan begitu tenang dan langsung tidak nampak stress. Hehe.
Apa yang menarik pada malam ini adalah bagaimana Mawi menyelitkan elemen nasyid dalam persembahan lagu Suci Dalam Debu. Satu idea yang cukup menarik dan berjaya memberikan sentuhan tersendiri kepada lagu tersebut.
Datuk Ramli MS: Menurut Tok Ram, Mawi mempunyai kelebihan tersendiri. Idea dan konsep persembahan juga datang daripada Mawi sendiri. Namun, sepanjang empat minggu pertandingan, Mawi seakan-akan menghidangkan masakan yang sama kepada juri.
Masakan Mawi memang sedap, cuma sudah tiba masanya untuk menghidangkan menu yang lain pula. Dalam erti kata lain, Mawi perlu berani membuat kelainan dan meneroka cara nyanyian yang berbeza.
Kesimpulan Persembahan Minggu Keempat
Secara keseluruhannya, persaingan Gegar Vaganza Fantasia semakin menarik. Masing-masing sudah mula menunjukkan kekuatan dan identiti tersendiri sebagai seorang penyanyi.
Apa yang saya suka pada malam ini adalah persembahan Zahid yang cukup stabil dengan susunan muzik yang menarik, Mila dengan penghayatan dan pitching yang cantik, serta Felix yang kelihatan begitu rileks tetapi mampu menghasilkan vokal yang sedap.
Apa yang boleh saya simpulkan daripada komen-komen juri pada malam ini adalah memiliki vokal yang hebat sahaja belum tentu mencukupi. Identiti nyanyian, penghayatan lirik, teknik pernafasan, keyakinan di atas pentas dan kreativiti dalam persembahan juga memainkan peranan yang sangat penting.
Gegar Vaganza Fantasia Minggu 4: Ulasan Persembahan dan Komen Juri
Inilah yang membezakan seorang penyanyi yang baik dengan seorang penghibur yang hebat.
Apa-apapun, ini hanyalah pandangan peribadi saya sebagai seorang penonton dan peminat muzik. Lain orang, lain citarasa. Apa yang sedap pada telinga saya mungkin tidak sama dengan apa yang sedap pada telinga anda.
Bagaimana pula dengan anda? Siapakah peserta yang memberikan persembahan terbaik pada minggu keempat Gegar Vaganza Fantasia ini?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana melawat BLOG Komuniti gempakZ. Jom Komen! Untuk mendapatkan "Notification" terhadap topik ini "klik" Subscribe by email.. TQ ^_^