Jika Konsert Aishah mengubat kerinduan peminat terhadap lagu-lagu malar segar, Konsert Cipta 4 pula membawa penonton menyelami dunia muzik yang cukup luas hasil sentuhan seorang maestro, Datuk M. Nasir. Berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil, konsert ini sekali lagi membuktikan bahawa karya-karya ciptaan M. Nasir tidak pernah luput ditelan zaman. Malah, walaupun sudah memasuki siri keempat, jenama "Cipta" masih berjaya menarik ribuan peminat daripada pelbagai generasi untuk berkongsi satu malam yang dipenuhi muzik, puisi dan penceritaan.
Kehebatan sebenar Konsert Cipta 4 bukan terletak pada saiz pentas atau gimik persembahan, tetapi pada kekuatan lagu-lagunya. M. Nasir memiliki kelebihan yang jarang dimiliki oleh penyanyi lain. Beliau bukan sahaja mempunyai koleksi lagu popular untuk dirinya sendiri, malah merupakan pencipta kepada begitu banyak karya ikonik yang pernah dipopularkan oleh artis-artis ternama. Sebab itulah setiap segmen konsert terasa seperti perjalanan merentas sejarah muzik Malaysia. Ada ketikanya penonton menyanyi bersama, ada ketikanya mereka sekadar diam menikmati setiap bait lirik yang begitu puitis.
Dari sudut persembahan, M. Nasir masih memperlihatkan karisma yang sukar ditandingi. Beliau tidak banyak bergerak atau bergantung kepada koreografi, sebaliknya aura, ekspresi dan cara beliau berkomunikasi dengan penonton sudah cukup untuk menguasai seluruh dewan. Setiap lagu disampaikan dengan penuh penghayatan, menjadikan penonton bukan sekadar mendengar muzik, tetapi benar-benar menghayati cerita di sebalik setiap karya.
Antara detik yang paling mencuri perhatian pastinya kemunculan Biduanita Negara, Dato' Sri Siti Nurhaliza. Kehadiran beliau menerima sorakan gemuruh daripada seluruh dewan. Gabungan vokal Siti yang begitu bersih dan merdu dengan karakter suara M. Nasir yang unik menghasilkan persembahan yang cukup istimewa. Lagu Bagaikan Sakti yang merupakan tema filem Puteri Gunung Ledang masih mampu dibawakan dengan cukup berbisa. Walaupun kedua-duanya mempunyai gaya nyanyian yang berbeza, perbezaan itulah yang menjadikan persembahan mereka begitu serasi dan meninggalkan impak besar kepada penonton.
Tidak kurang hebatnya ialah penampilan Dato' Ziana Zain. Dengan vokal yang masih mantap dan bertenaga, Ziana membawa aura seorang diva yang sentiasa dinanti-nantikan setiap kali muncul di atas pentas. Apabila bergandingan dengan M. Nasir, persembahan mereka memperlihatkan gabungan dua figura besar industri muzik tempatan yang masing-masing mempunyai identiti tersendiri. Lagu di Halaman Asmara yang merupakan lagu "hari Raya" cukup hebat dibawakan oleh Ziana Zain malahan, Datuk M. Nasir mampu membawakan bahagian Dato Awie dengan cara beliau sendiri. Kehadiran Ziana bukan sekadar sebagai artis jemputan, malah berjaya menambahkan lagi nilai eksklusif kepada keseluruhan konsert.
Turut mencuri perhatian ialah kemunculan penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Melly Goeslaw. Kehadiran beliau memberi sentuhan Nusantara yang cukup istimewa kepada Konsert Cipta 4. Sebagai seorang komposer prolifik yang juga banyak menghasilkan karya malar segar, gandingan Melly dan M. Nasir terasa begitu semula jadi kerana kedua-duanya berkongsi kekuatan yang sama, iaitu keupayaan mencipta lagu yang mampu bertahan merentasi zaman.
Secara keseluruhannya, Konsert Cipta 4 bukan sekadar sebuah konsert biasa. Ia lebih menyerupai sebuah penghargaan terhadap seni penulisan lagu dan karya muzik yang telah membentuk industri hiburan Melayu selama beberapa dekad. M. Nasir sekali lagi membuktikan bahawa beliau bukan hanya seorang penyanyi, tetapi seorang seniman yang berjaya menghubungkan pelbagai generasi melalui lagu-lagu ciptaannya. Dengan kehadiran artis-artis hebat seperti Siti Nurhaliza, Ziana Zain dan Melly Goeslaw, malam itu menjadi satu lagi bukti bahawa karya yang lahir daripada jiwa yang ikhlas akan terus hidup dan dihargai, walaupun zaman sentiasa berubah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana melawat BLOG Komuniti gempakZ. Jom Komen! Untuk mendapatkan "Notification" terhadap topik ini "klik" Subscribe by email.. TQ ^_^