Malu saya dengan saudara baru ni kerana beliau lebih berjaya dalam dakwahnya berbanding saya yang sudah sedia Islam sejak dahulu. Mungkin kita sebagai umat Islam tidak memperdulikan akan dakwah. Sedangkan Dakwah amat ditekankan dalam Islam untuk mengajak seberapa ramai bukan Islam mengenali Ajaran Ad-din daripada Tuhan pencipta sekalian alam. Semoga kisah Adam Corrie yang merupakan seorang pelakon terkenal ini memberikan inspirasi kepada kita untuk menjalankan aktiviti dakwah.
PETALING JAYA: Pelakon Adam Corrie mendedahkan dia berjaya menarik kira-kira 15 individu bukan Islam untuk memeluk agama itu sejak dia bergelar mualaf pada Julai 2007.
“Alhamdulillah, setakat ini ada sudah 15 orang saya berjaya bantu untuk memeluk agama Islam. Ramai terbuka hati menerusi dakwah yang saya lakukan di laman sosial Facebook dan Instagram”.
“Saya selalu memuat naik status tentang Islam, ia hanya status yang mudah dan semua umat Islam tahu, seperti potongan ayat-ayat Al-Quran yang memberi makna tentang kebaikan dan Islam itu mudah”.
“Daripada situ ramai yang bukan beragama Islam memberi mesej secara peribadi bertanyakan lebih lanjut tentang Islam,” ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Tambah Adam, dia juga pernah mendapat mesej daripada seorang lelaki India yang menetap di Australia yang ingin mengetahui beberapa perkara tentang Islam.
Katanya, lelaki tersebut pulang ke Malaysia untuk melafazkan syahadah dan menganggap ayat-ayat yang saya muat naik itu memberi inspirasi kepadanya untuk memeluk agama Islam.
“Sehinggalah dia minta bantuan saya untuk menghubungi pihak tertentu bagi memeluk Islam. Selalunya, saya akan bawa mereka ke Perkim (Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia) atau seorang ustaz untuk mengetahui lebih lanjut serta cara untuk mengucap syahadah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Adam berkata, dia dalam proses menjalankan projek ibadah umrah bersama golongan mualaf yang tidak berkemampuan.
Katanya, projek yang sudah diusahakan selama dua tahun itu akhirnya bakal dilaksanakan pada 10 Jun depan bersama 25 jemaah dari Perkim.
“Projek ini sudah dua tahun saya usahakan, namun banyak sangat rintangan terutama dalam hal dana dan penaja. Dulu saya pernah kena tipu juga, mereka kata ingin taja 40 jemaah, namun akhirnya diam tanpa sebarang mesej.
“Kali ini, pelakon Adi Putra banyak menolong cari dana dan penaja untuk 25 jemaah, Insya-Allah jika tiada halangan kami akan berangkat menunaikan umrah pada 10 hingga 21 Jun depan,” ujarnya.