"Saudi dah umum raya Isnin. Indonesia dah ucap salam lebaran. Negara kita macam mana?"
✳1. Seperti yang dijangka, polemik tarikh Hari Raya sudah pun timbul. Punca utama pada tahun ini adalah kerana kriteria kebolehnampakan anak bulan Malaysia telah berubah hasil keputusan autoriti agama di negara kita.
✳2. Sebelum netizen menjadi mufti, perlu faham dulu tentang falak serba sedikit.
[Pertama], perbezaan Hari Raya antara negara tidak hanya bergantung kepada perbezaan matla' sahaja. Ada tiga pembolehubah yang membuatkan pengisytiharan Hari Raya berbeza antara negara iautu:
💠1. Matla': Mengikut negara kita berada. Masing-masing menerima kedatangan bulan dan matahari pada masa yang berbeza.
Duduk di Malaysia, kena ikut matla' Malaysia. Tak boleh ikut Saudi. Sama seperti waktu solat. Duduk di Malaysia, tak boleh berbuka ikut waktu Jepun.
💠2. Kaedah: yang popular ada tiga tapi yang lebih ditil ada empat iaitu:
🔶️a. RUKYAH HAKIKI: Cara paling old school. Nampak anak bulan ketika tenggelam matahari 29hb, terus isytihar Raya esoknya. Tak nampak, cukupkan 30hb dan isytihar Raya lusanya.
🔶️b. HISAB HAKIKI: Bergantung penuh pada perkiraan matematik dalam membaca peredaran bulan dan matahari. Tak tengok bulan langsung. Cara ini digunakan untuk penentuan bulan yang tidak berkait dengan ibadah fardu. Sebab tu kita dah ada taqwim setahun terus.
🔶️c. RUKYAH MAAL HISAB: Kaedah hybrid antara a dan b. Kalau nampak anak bulan, terus isytihar. Kalau tak nampak, pakai kaedah hisab pula.
🔶️d. IMKANUL RUKYAH MAAL HISAB: Lebih kurang kaedah c. Cuma kalau anak bulan tidak memenuhi kriteria kebolehnampakan, mereka tak akan buat cerapan. Terus guna kaedah hisab.
💠3. Kriteria kebolehnampakan anak bulan: Ini bahagian yang orang susah sikit nak faham. Ia berbeza mengikut matla'. Ia ditentukan dengan mengambilkira kedudukan matahari dan bulan.
Bulan terima cahaya dari matahari. Jika kedudukan matahari di matla' Malaysia tidak memungkinkan cahayanya dipantul oleh permukaan bulan, maka tak akan nampak anak bulan.
✳3. [Kedua], Matla' adalah perkara qat'iy/thabit. Takkan berubah kecuali kalau daratan bumi beralih, putaran bumi atas paksi berubah atau peredaran bumi, matahari dan bulan lari dari orbitnya. Agak mustahil.
Kaedah dan kriteria pula adalah perkara ijtihadiy. Terpulang kepada autoriti agama di negara masing-masing dalam menentukan kaedah dan kriteria mana yang mereka patut gunapakai.
Bab kaedah dan kriteria inilah yang banyak timbul khilaf di kalangan pakar. Mana satu kaedah paling menepati ajaran Islam. Mana satu kriteria yang paling menepati bacaan saintifik.
✳4. [Ketiga], Malaysia menggunapakai kaedah Rukyah dan Hisab. Kriteria pula adalah jarak tegak 5.5° dan jarak sendeng 6.4°. Tiada lagi kriteria usia anak bulan.
✳5. Ini merupakan kriteria terbaru yang dipersetujui oleh autoriti agama di semua negeri dalam Malaysia sebagaimana dicadangkan oleh MAPIM. Kalau ikut kriteria dulu; ketika matahari terbenam, ketinggian anak Bulan di atas ufuk, tidak kurang dari 2° dan jarak lengkungannya (antara Bulan dan Matahari) tidak kurang dari 3°. Atau ketika bulan terbenam, umur anak Bulan tidak kurang dari 8 jam selepas ijtimak berlaku.
Kriteria lama ini adalah kriteria lapuk yang dicadangkan oleh Istanbul hampir 100 tahun dahulu.
✳6. Perubahan kriteria inilah yang menimbulkan polemik bagi mereka yang tak faham. Tetapi jika kita melihat secara ilmu, kriteria terbaru ini lebih tepat berbanding sebelum ini. Persatuan Falak Syar'ie telah mencadangkan umur anak bulan mestilah tidak kurang dari 15 jam. Rekod terpendek anak bulan pernah kelihatan pada tarikh cerapan di langit Malaysia adalah 14 jam manakala rekod terpendek dunia adalah 12 jam.
8 jam adalah sangat mustahil dan sangat tidak saintifik.
✳7. Apa yang menyedihkan, terlalu ramai Ruwaibidhoh yang mula bercakap bagi menimbulkan polemik dikalangan masyarakat awam. Mereka menimbulkan keraguan yang tidak patut sehingga orang awam mula bertelagah dalam perkara yang mereka tidak tahu.
✳8. Lebih menyedihkan, agamawan turut terlibat menimbulkan polemik ini termasuk golongan berprofil tinggi seperti mufti. Padahal, tentu dia sendiri yang terlibat dalam mengendorse kriteria baru ini di peringkat negeri masing-masing. Kenapa tiba-tiba pertikai di media sosial pula?
✳9. Polemik yang ditimbulkan ini adalah amat bahaya kerana ia melibatkan soal ibadah fardu umat Islam. Kalau ada pentaasub mereka terud anggap autoriti agama kita salah, maka mereka cenderung untuk tidak berpuasa pada hari Isnin 2 Mei kerana anggap sudah 1 Syawal. Mereka juga cenderung untuk berpuasa 6 pada 3 Mei nanti.
Golongan yang sengaja timbulkan fitnah ini akan tanggung dosa orang awam jahil yang meninggalkan puasa Ramadhan dan melakukan puasa pada Idulfitri, kalau orang awam buat kerana percaya pada mereka.
✳10. Jangan terlalu prejudis terhadap autoriti agama. Bukan nak kata mereka selalu betul. Tetapi kalau nak kritik, kritiklah dengan ilmu. Tegurlah dengan manhaj teguran yang betul. Ambil kira fitnah yang mungkin timbul.
Bukan main sentimen yang mengelirukan orang awam. Tak perlu bandingkan dengan negara-negara lain kerana mereka punya matla', kaedah dan kriteria tersendiri. Respon agamawan yang tidak matang hanya mendedahkan kejahilan kalian. Level mufti pun masih nak populis.
✳11. Saya dahulupun ada kritik mengenai kriteria lapuk dulu. Tetapi selepas mengambil kira kesan ibadah orang awam. Tahun 2019 saya komen mengenai penentuan anak bulan Zulhijjah, itupun selepas Raya Haji supaya tak beri kesan kepada ibadah puasa Arafah dan pengharaman puasa Aidil Adha dan Hari Tasyrik.
Ikutkan ada lagi nak kritik, tapi perubahan terbaru ini sudah cukup baik untuk diterima. Saya sokong dan ucapkan syabas!
✳12. Saya harap autoriti agama kita tidak goyang dengan tekanan yang cuba diberikan. Berpegang teguh atas asas ilmu yang betul. Jangan pedulikan celaan orang mencela. Inilah dunia akhir zaman, berpegang pada amanah ilmu akan dianggap pengkhianat. Pengkhianat agama pula dianggap benar. Menggenggam agama ibarat menggenggam bara api. Ruwaibidhoh di mana-mana.
✳13. Bagi orang awam, sepatutnya mereka beriman dan beramal sahaja dengan firman Allah SWT:
وَإِذَا جَاۤءَهُمۡ أَمۡرࣱ مِّنَ ٱلۡأَمۡنِ أَوِ ٱلۡخَوۡفِ أَذَاعُوا۟ بِهِۦۖ وَلَوۡ رَدُّوهُ إِلَى ٱلرَّسُولِ وَإِلَىٰۤ أُو۟لِی ٱلۡأَمۡرِ مِنۡهُمۡ لَعَلِمَهُ ٱلَّذِینَ یَسۡتَنۢبِطُونَهُۥ مِنۡهُمۡۗ وَلَوۡلَا فَضۡلُ ٱللَّهِ عَلَیۡكُمۡ وَرَحۡمَتُهُۥ لَٱتَّبَعۡتُمُ ٱلشَّیۡطَـٰنَ إِلَّا قَلِیلࣰا﴿ ٨٣ ﴾
Apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya. Padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada - "Ulil-Amri" (autoriti) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka. Jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, pasti kamu menurut Syaitan, kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu).
[An-Nisa':83]
(Alang Ibn Shukrimun)
🔷️Artikel lain di Telegram: https://t.me/alangibnshukrimun
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana melawat BLOG Komuniti gempakZ. Jom Komen! Untuk mendapatkan "Notification" terhadap topik ini "klik" Subscribe by email.. TQ ^_^