JoM! "LIKE"

KoMuNiTi gempakZ on Facebook

++Do LIKE @ SHARE ARTICLE++

Mesra Qi, Yuna


TEMPOH perkenalan antara pelantun lagu Dan Sebenarnya, Yuna dan aktor utama drama bersiri popular Blogger Boy, Qushairi Razali atau Qi, baru menjangkau sebulan. Namun, bibit-bibit kemesraan seperti pasangan bercinta tidak dapat disembunyikan lagi. Semua itu dapat disaksikan ketika mereka menghadiri majlis Shout! Awards yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, malam Sabtu lalu. Bukan sahaja mereka memakai pakaian yang mempunyai padanan rona warna yang sama iaitu kelabu, bahkan setiap kali nama Yuna diumumkan sebagai pemenang dan memerlukan dia berjalan ke atas pentas, Yuna tanpa segan meminta Qi memegang seketika tas tangannya. Apabila diminta penjelasan mengenai status hubungannya dengan Qi, Yuna yang dihubungi Kosmo! semalam dalam tawa tidak menafikan Qi kini merupakan lelaki yang paling rapat dengan dirinya, namun, dia enggan menggunakan perkataan bercinta sebagai tafsiran hubungannya itu.

“Bercinta itu satu perkataan yang agak kuat sedangkan hubungan kami baru dalam peringkat awal untuk kenal antara satu sama lain.Buat masa ini saya tidak nafikan kami memang rapat, tetapi untuk mengklasifikasikan kami sebagai pasangan yang bercinta rasanya itu terlalu awal,” ucap Yuna penuh jujur.


Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai memberitahu, perkenalan antara mereka terjadi apabila masing-masing terlibat dalam program terbitan TV9, Kawanku Bintang Coca-Cola. Hubungan mereka terbina selepas Qi berpisah dengan pelakon dan pengacara, Julie Woon yang pernah bergandingan dengan Qi menerusi drama bersiri, Blogger Boy.
QI mengakui akan keserasian yang wujud dalam hubungan dirinya bersama Yuna.

“Dalam program Kawanku Bintang, Qi bertindak sebagai pengacara dan saya pula sebagai juri bersama beberapa teman artis yang lain. Perkenalan kami terjalin selepas Qi berpisah dengan Julie, jadi tidak ada sebarang isu di situ,” jelas Yuna.
Pemenang Ultimate Shout! 2010 itu juga tidak menafikan ibu bapanya telah berkenalan dengan Qi dan dalam masa yang sama menegaskan hubungan mereka masih terlalu jauh untuk mencecah ke jenjang pelamin.

“Saya tidak nafikan ibu bapa saya kenal dengan Qi kerana mereka selalu berada bersama saya. Jadi, tidak secara langsung mereka kenal semua kawan saya termasuk Qi.
“Sebenarnya, siapa sahaja kawan saya, saya akan bawa jumpa ibu dan bapa saya kerana mereka ibu bapa yang berfikiran terbuka. Boleh dikatakan kawan-kawan saya merupakan kawan-kawan ibu bapa saya juga,” kata gadis berasal dari Subang, Selangor itu lagi.

Tanpa berkias, terus diajukan soalan, apakah yang menarik Yuna untuk mendampingi Qi. Kalau dilihat dengan teliti mungkin muzik yang menyatukan mereka sementelah latar belakang Qi yang merupakan bekas pemain drum band popular, OAG.

Qi setia menemani Yuna pada majlis Shout! Awards 2010 di Stadium Putra, Bukit Jalil, Sabtu lalu.
Jawab Yuna penuh sopan: “Saya suka dia sebab dia baik hati juga seorang lelaki yang baik. Dia seorang yang tenang serta menghormati orang di sekelilingnya. Seronoklah berkawan dengan dia.” Jelas sekali, jawapan tulus Yuna itu sudah cukup untuk membukti betapa istimewanya Qi di hati Yuna. Saat ditanya, tidak bimbangkah dia menjalin cinta dengan Qi, seorang lelaki yang berstatus selebriti sepertinya. Terdiam seketika, lalu Yuna menghamburkan kerisauan yang terbuku di hatinya.

“Siapa kata saya tidak bimbang, memang saya bimbang sebab cabarannya lebih besar. Orang pula akan perhatikan segala gerak-geri saya. Dulu semasa saya sering membuat persembahan bersama Hanafi daripada band Estranged, orang kata saya bercinta dengan dia, sedangkan kami hanya berkawan baik,” ujar gadis berusia 23 tahun itu tentang gosip cinta yang pernah melandanya suatu ketika dulu.


Kebimbangan Yuna itu juga menyebabkan dia enggan mengembar-gemburkan kisah peribadinya dan jika boleh mahu disoal hanya tentang kerjayanya sahaja. Katanya dia tidak mahu lari daripada landasan yang telah dirancangnya.


“Saya takut orang akan hilang fokus terhadap muzik saya dan lebih mahu ambil tahu tentang kisah peribadi. Sebenarnya cerita peribadi tidak penting dan saya lebih suka kalau orang tanya tentang kerjaya saya. Buat masa sekarang, Qi pun sibuk dengan kerja dia, begitu juga saya.


“Masing-masing mahu stabilkan kerjaya dulu, baru kami boleh bercerita lanjut mengenai kisah peribadi,” tutur Yuna yang mengakui dia seorang fokus dan gila terhadap kerjanya.


Mahu mendapat kepastian, Kosmo! mendapatkan pula jawapan daripada mulut Qi sendiri. Dia yang ditemui pada parti usai Shout! Awards 2010 bersikap cukup profesional dan terbuka dalam memberi penjelasan mengenai hubungannya dengan Yuna.

“Saya dan Yuna mula rapat semenjak kami sama-sama terlibat dalam program Kawanku Bintang Coca-Cola. Dalam program tersebut, saya pengacara program tersebut. Yuna pula bertindak sebagai juri program,” kata Qi yang pernah mengacara Destinasi Budget. Qi yang berusia 32 tahun itu juga mengakui bahawa dia sememangnya sudah lama meminati lagu-lagu nyanyian Yuna dan sentiasa menyokong kerjayanya.

“Sekarang masih terlalu awal untuk saya katakan yang hubungan kami sudah sampai ke tahap bercinta. Namun, saya juga tidak menafikan bahawa hubungan kami buat masa ini memang rapat. Malah, terdapat keserasian dalam perhubungan kami,” tambahnya yang mula dikenali dengan program Field Trip USA! terbitan 8TV.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana melawat BLOG Komuniti gempakZ. Jom Komen! Untuk mendapatkan "Notification" terhadap topik ini "klik" Subscribe by email.. TQ ^_^