JoM! "LIKE"

KoMuNiTi gempakZ on Facebook

++Do LIKE @ SHARE ARTICLE++

Avatar Tewas

Juri Anugerah Academy ke-82 mengangkat filem The Hurt Locker arahan Kathryn Bigelow yang juga bekas isteri James Cameron

KEJUTAN tercipta pada Anugerah Academy ke-82 yang berlangsung di Los Angeles semalam apabila calon pilihan, Avatar, tewas di tangan filem yang berkisar mengenai peperangan di Iraq, The Hurt Locker.

Filem terbabit bukan saja dinobatkan Filem Terbaik, malah pengarahnya, Kathryn Bigelow, turut menaiki pentas sebagai Pengarah Terbaik, mengetepikan bekas suami yang juga pengarah Avatar, James Cameron.

Bukan sekadar dua trofi pada anugerah perfileman paling berprestij di dunia itu yang dimenangi, sebaliknya The Hurt Locker juga membawa pulang empat lagi anugerah pada malam bersejarah berkenaan.

Bigelow sendiri pastinya insan paling gembira apabila dia muncul sutradara wanita pertama dalam sejarah penganjuran Anugerah Academy, yang diumumkan pemenang trofi tertinggi dalam bidang pengarahan.

"Tidak ada kata untuk saya menggambarkan perasaan saya ketika ini. Ia detik yang hanya datang sekali seumur hidup. Keadaan ini cukup luar biasa untuk berada dalam kelompok calon akhir yang rata-rata terdiri daripada pembikin filem yang hebat. Mereka memberikan ilham kepada saya untuk menghasilkan filem dan saya mengagumi mereka, dengan sebahagiannya sejak berdekad lama," kata Bigelow.

Cameron yang dikahwininya pada 1989 hingga 1991 ditempatkan betul-betul di belakang Bigelow pada anugerah terbabit, dan nyata amat gembira serta turut berdiri memberikan penghormatan apabila bekas isterinya itu diumumkan pemenang trofi utama itu.

Bukan hanya Bigelow yang muncul pemenang kali pertama pada acara itu, apabila empat trofi kategori lakonan turut dimenangi oleh pelakon yang belum pernah menggenggam Oscar sebelum ini.

Sandra Bullock membuktikan kejelitaannya seiring dengan bakat apabila mengungguli kategori Pelakon Wanita Terbaik hasil persembahannya dalam The Blind Side, manakala Jeff Bridges berseronok dengan trofi Pelakon Lelaki Terbaik, menerusi filem Crazy Heart.

Aktres kulit hitam, Mo’Nique, mengetepikan calon lebih terkenal untuk menggenggam trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, sementara Christoph Waltz menerima trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, sebagaimana yang diramalkan banyak pihak.

Kemenangan pada edisi ke-82 ini tentunya begitu bermakna buat aktor veteran, Bridges, yang pernah dicalonkan sebanyak empat kali bagi memenangi trofi lakonan sepanjang 38 tahun lalu. Namun, empat kali itu jugalah dia pulang kehampaan.

Pada 1972, Bridges dicalonkan bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki menerusi filem The Last Picture Show, manakala tiga tahun kemudian, dia dicalonkan dalam kategori sama menerusi filem Thunderbolt and Lightfoot. Pencalonan bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik pertama pernah diterimanya pada 1985 menerusi filem Starman. Pada 2001 pula, sekali lagi Bridges dicalonkan bagi kategori pembantu menerusi The Contender.

Sebelum menjulang Oscar, Bridges terlebih dulu memenangi kategori sama pada empat anugerah lain - Broadcast Film Critics Association Awards, Golden Globes, Los Angeles Film Critics Association Awards dan Screen Actors Guild Award.

Dalam Crazy Heart, aktor berusia 60 tahun ini beraksi sebagai penyanyi country yang cuba membuang tabiat buruknya selepas berkenalan dengan seorang wartawan wanita muda, lakonan Maggie Gyllenhaal.

Bagi Bridges, kejayaan itu adalah hasil dorongan kedua-dua ibu bapanya, penulis puisi, Dorothy Bridges dan pelakon Lloyd Bridges.

Manakala Bullock yang sememangnya menjadi pelakon kesayangan ramai belum pernah dicalonkan sebelum ini. Namun, wataknya sebagai wanita kaya yang membantu kanak-kanak jalanan, Michael Oher, muncul jaguh sukan bola sepak Amerika memberikannya peluang merasai kegemilangan Oscar.

Jika ditakdirkan dia tidak memenangi trofi kebanggaan itu semalam, Bullock sebenarnya sudah pun menggenggam sebuah trofi lain. Cuma, pada Anugerah Golden Raspberry, dia diumumkan Pelakon Wanita Terburuk menerusi lakonannya dalam All About Steve.

Lakonan mantapnya sebagai Leigh Anne Touhy yang kuat semangat dalam The Blind Side tentu sekali memperluaskan pengaruh aktres ini, yang sebelum ini cukup gah menguasai filem bercorak komedi romantik. Kini, namanya sebaris dengan pelakon wanita lain yang sering kali disenaraikan untuk Oscar.

Bullock mencipta nama menerusi beberapa filem popular seperti Speed, While You Were Sleeping, Miss Congeniality dan The Proposal. Lakonannya sebagai seorang ibu dari Tennessee yang mengambil anak angkat miskin dalam filem terbarunya itu nyata membuktikan betapa pelakon ini turut dikurniakan bakat lakonan bukan sedikit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana melawat BLOG Komuniti gempakZ. Jom Komen! Untuk mendapatkan "Notification" terhadap topik ini "klik" Subscribe by email.. TQ ^_^