JoM! "LIKE"

KoMuNiTi gempakZ on Facebook

++Do LIKE @ SHARE ARTICLE++

Shila Dianak Tirikan Stesen Radio?



Penyanyi cantik dan berbakat seperti Shila pun mengeluh lagu Bebaskan daripada album baru tidak ke udara

KALAU mahu ikutkan bakat dan populariti, ternyata penyanyi remaja ini memiliki kedua-duanya. Siapa yang tak kenal anak gadis kepada penyanyi dan pengacara ND Lala ini. Aksi lincahnya di pentas serta suaranya yang tersendiri membuatkan nama Siti Nurshaila Amir Hamzah atau Shila begitu cepat terpahat dalam ingatan peminat setianya.

Namun, entah di mana silapnya, suara Shila hanya laku di pentas pertunjukan dan kaca televisyen tetapi tidak di radio. Sejak meluncurkan album terbarunya berjudul Bebaskan Oktober lalu, amat sukar untuk mendengar lagu nyanyian Shila berkumandang di udara. Kalau hendak diikutkan, ada antara lagu yang dimuatkan dalam album itu kebanyakannya hebat belaka kerana dicipta komposer terkenal tanah air.

Bayangkan selepas segala usaha dan penat lelah ditumpahkan untuk album sulungnya, tiba-tiba ia bagai tak dihargai oleh sesetengah stesen radio dan membiarkan album itu terperap begitu saja. Saat diajukan pertanyaan ini kepada Shila, penyanyi ini mengakui dia sendiri begitu kecewa dengan situasi itu.

'Saya tidak tahu di mana silapnya'

“Saya sendiri tak tahu mengapa ada stesen radio tidak mahu memutarkan lagu saya. Rasanya album itu sudah diberikan awal kepada mereka, tapi sehingga kini, saya sendiri tak tahu apakah statusnya. Bukan saya saja yang perasan akan hal itu tetapi juga peminat. Kalau hendak kata lagu saya tidak menepati cita rasa ramai, itu perkara subjektif.


BERSAMA Gary promosi iklan minuman Tinge.

“Itulah kadang-kadang saya sendiri hairan dengan sikap sesetengah stesen radio ini. Apabila kita buat pembaharuan, mereka kata lagu kita tak sesuai dengan kumpulan pendengar sasaran mereka, tetapi kalau muzik kita masih di takuk lama, kita pula dikatakan tidak inovatif. Ini yang membuatkan saya tertanya-tanya apakah yang mereka mahukan sebenarnya,” kata Shila ketika ditemui sewaktu sesi penggambaran iklan minuman Tinge, di Shah Alam baru-baru ini.

Shila dipilih menjadi wajah baru iklan minuman itu bersama penyanyi terkenal Taiwan, Gary Chow menggantikan Marsha dan pemenang Malaysian Idol musim kedua, Daniel Lee.

Ditanya apakah ini juga ada kemungkinan dengan kurangnya promosi mengenai album itu membuatkan kebanyakan stesen radio terlepas pandang mengenai album itu, Shila menafikan perkara itu.

“Shila tak rasa promosi mengenai album ini kurang kerana setahu Shila, pihak syarikat rakaman sudah pun menghantar single Shila untuk diputarkan. Bagaimanapun, Shila akui, kesibukan Shila dengan pelbagai projek membuatkan jadual promosi Shila agak terbatas. Mungkin selepas Shila selesai semua perkara, barulah Shila akan beri tumpuan sepenuhnya terhadap album ini,” kata Shila yang mengakui puas hati dengan penerbitan album solonya itu.

Kata Shila lagi, sebagai penyanyi adalah penting jika lagu mereka diputarkan di radio kerana itulah salah satu cara untuk peminat mereka tahu bahawa artis mereka masih lagi aktif dalam bidang seni.

“Apabila perkara ini berterusan, nampaknya dakwaan berlakunya anak tiri membabitkan artis tempatan memang berlaku dan saya harap stesen radio dapat mempertimbangkan luahan saya ini.Kalau benar lagu saya mempunyai masalah untuk diputarkan, harap dapat dimaklumkan kerana kalau berdiam diri saja, ia tak akan menguntungkan sesiapa,” tegas Shila yang semakin popular dengan lagu Ada Saja ini.

Lebih popular sebagai duta

BIARPUN lagunya jarang diputarkan di corong radio, namun survival Shila dalam dunia seni tetap ampuh apabila dia sering menjadi pilihan untuk menjadi jurucakap produk. Sebelum ini Shila pernah menjadi jurucakap aiskrim Walls. Kemudian dia dan Dafi terpilih sebagai duta minuman Coca Cola dan sempat muncul dalam sebuah iklan. Terbaru, Shila dipilih menghiasi wajah minuman Tinge keluaran Spitzer.

Ternyata, Shila begitu laku sebagai duta produk dan apakah ini ibarat satu rahmat di sebalik duka buat penyanyi itu. Menurut Shila, dia tidak kisah dikatakan sedemikian, malahan bersyukur dan menganggap itu semua rezeki buatnya.

“Mungkin imej remaja saya membuatkan ramai pihak berminat untuk menjadikan saya jurucakap mereka. Apapun, saya mengucapkan terima kasih pada pihak 8 Unit kerana mencadangkan nama saya kepada pihak Spitzer.Seronok kerana rezeki saya tak putus-putus. Selepas tamat kontrak dengan Coca Cola, saya terus dilamar untuk menjadi jurucakap minuman berperisa ini. Lagipun Shila memang suka dengan minuman ini sebelum Shila menjadi jurucakapnya lagi,”kata Shila.

Bercerita pengalaman menjayakan penggambaran iklan itu, Shila berkata dia begitu seronok kerana berpeluang bekerjasama dengan seorang penyanyi seperti Gary.

“Ketika di awal pertemuan, Gary kelihatan malu-malu, tetapi tidak lama kemudian, barulah kami rasa serasi. Setakat ini Shila memang rasa seronok sangat menjayakan iklan ini kerana ia jelas menggambarkan cita rasa seorang remaja seperti Shila dan Gary pun memberikan kerjasama yang baik sepanjang penggambaran iklan ini,” ujar Shila yang bergaya ranggi petang itu.

Sebagai jurucakap, wajah Shila dan Gary akan tertera dalam botol minuman itu dalam enam bentuk yang berlainan. Tinge mempunyai dua perisa iaitu Lemon dan juga Fruit Passion.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana melawat BLOG Komuniti gempakZ. Jom Komen! Untuk mendapatkan "Notification" terhadap topik ini "klik" Subscribe by email.. TQ ^_^