JoM! "LIKE"

KoMuNiTi gempakZ on Facebook

++Do LIKE @ SHARE ARTICLE++

Samseng Jalanan masuk panggung

Farid kamil

BARU saja hendak menunjukkan kreativiti dan mempraktikkan ilmu yang dipelajari sewaktu menuntut di institusi pengajian tinggi, tiba-tiba dia mendapat perkhabaran filem pertama arahannya itu bakal diharamkan. Semuanya kerana beberapa adegan yang dianggap keterlaluan.

Tidak mahu filemnya itu terperap begitu saja, Farid Kamil dan penerbit filem V3:Samseng Jalanan, MIG Production membuat rayuan kepada Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM). Selepas bertolak ansur terhadap beberapa perkara, akhirnya filem itu lulus untuk ditayangkan kepada umum. .

Demi filem pertamanya itu, Farid sanggup berbuat apa saja. Ketika majlis pratonton filem ini yang berlangsung di Mutiara Damansara, baru-baru ini Farid mendedahkan bahawa filem V3:Samseng Jalanan ini ada kaitan dengan kehidupannya sebelum bergelar pelakon.

“Saya boleh anggap filem ini adalah luahan rasa seorang Mat Rempit. Saya pernah melalui pengalaman berlumba haram 15 tahun lalu

“Tapi apabila saya mengatakan ia adalah filem luahan rasa seorang mat rempit tidak bermakna saya mengangkat mereka sebagai wira.

“Apa yang saya gambarkan dalam filem ini adalah gambaran sebenar kehidupan mereka. Dialog yang dilafazkan watak sudah memadai untuk menggambarkan luahan hati mat rempit. Filem ini dibuat mengambil inspirasi Osman Ali ketika mengarah Anak Halal,” kata Farid.

Tidak dinafikan, sepanjang menanti filem ini untuk diluluskan, Farid tak senang duduk diam. Debaran menjadi sahabat setianya. Ternyata penantian memang satu penyiksaan buatnya. Namun berkat kesabaran, akhirnya filem yang menampilkan lakonan mantap Farid sendiri bersama pelakon lain seperti Aqasha, Intan Ladyana dan Lisa Surihani diluluskan LPF dengan klasifikasi 18PL.

“Walaupun dipotong sebanyak 20 peratus kerana ia membabitkan adegan mat rempit seperti mengangkat tayar depan dan belakang serta babak mereka melepaskan diri dari sekatan polis, namun saya puas hati kerana ia tidak mencacatkan plot ceritanya.

“Pun begitu, sebagai pengarah baru, karya saya ini masih banyak kelemahan terutama dari aspek penceritaan dan perkembangan karakter,” jelas Farid yang bercadang untuk mengarahkan filem berkonsepkan aksi selepas ini.

Dengan kos sebanyak RM1.8 juta, filem V3:Samseng Jalanan ini mengisahkan Rudy (lakonan Farid) bersama rakannya, Brett/Black (Bront) berdepan masalah selepas dua rakan mereka yang membawa bungkusan dadah maut dalam nahas jalan raya. Apabila Rudy bersama Brett diburu polis, mereka melarikan diri ke Kuala Lumpur. Di ibu negara itu, Rudy berhasrat mengubah hidupnya. Namun, kehadirannya disedari Garing (Aqasha) yang mengajaknya berlumba.

Dalam satu perlumbaan yang membabitkan wang pertaruhan sebanyak RM10,000, Rudy diburu Garing selepas dia tewas dalam perlumbaan itu. Untuk mendapatkan kembali, Garing menculik Lisa (Intan) yang berkenalan dengan Rudy di bandar.

Filem rempit terakhir

BUKAN merajuk atau beremosi apabila David Teo memberitahu bahawa filem V3:Samseng Jalanan adalah filem terakhir yang mengisahkan mat rempit, Sebaliknya keputusan itu dibuat berdasarkan garis panduan baru yang dikeluarkan oleh LPF.

“Ini bermakna filem V3:Samseng Jalanan adalah filem terakhir kami yang memaparkan aksi Mat Rempit. Saya hanya akan kembali menerbitkan filem seperti ini jika syarat atau garis panduan itu dilonggarkan. Saya tidak mahu menanggung risiko jika terus menghasilkan filem seperti ini supaya kejadian yang sama tidak berulang. Mujurlah pihak LPF meluluskan juga filem ini,” tegas David.

Mengulas hasil kerja anak didiknya itu, David melahirkan rasa puas hati dengan apa yang diberikan oleh Farid.

“Saya sangat berpuas hati dengan kualiti sistem bunyi dalam filem ini yang menggunakan Dolby Digital Surround EX. Berdasarkan hasil kerjanya itu, saya juga sudah memintanya mengarahkan sebuah lagi filem pada April depan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana melawat BLOG Komuniti gempakZ. Jom Komen! Untuk mendapatkan "Notification" terhadap topik ini "klik" Subscribe by email.. TQ ^_^