JoM! "LIKE"

KoMuNiTi gempakZ on Facebook

++Do LIKE @ SHARE ARTICLE++

H-Kit pemudah pemeriksaan HIV


DENGAN H-KIT kini ujian HIV boleh dilakukan di rumah.

PERASAAN segan dan takut sering kali menghantui masyarakat negara ini apabila diminta mendapatkan pemeriksaan awal HIV di hospital kerajaan ataupun swasta.

Pemeriksaan awal HIV bukan sahaja dapat membantu orang ramai daripada terdedah kepada penyakit berkenaan tetapi ia mampu memupuk kesedaran mengenai kepentingan menghindari AIDS.

Menyedari kepentingan itu, Twinscan Holdings Sdn. Bhd. dengan kerjasama NewScen Coast Bio-Pharmaceutical Co. Ltd. memperkenalkan H-Kit bagi membantu orang ramai membuat saringan awal virus HIV.

Perunding Twinscan Holdings Sdn. Bhd., Dr. P.V Lingham berkata, H-Kit memberi kebebasan kepada pengguna untuk membuat pemeriksaan saringan awal virus HIV di rumah mereka.

“Saringan awal virus HIV di rumah dapat memberi keselesaan kepada pengguna terutamanya mereka yang berasa segan ataupun mempunyai perasaan takut untuk melakukan pemeriksaan di hospital-hospital.

“Penggunaan H-Kit ini amat mudah sekali dan hanya mengambil masa lima hingga 30 minit untuk mendapat keputusan. Ia juga dapat mengenalpasti jangkitan HIV 1 dan HIV 2 apabila digunakan pengguna kelak,” katanya ketika ditemui Kosmo!.

P.V Lingham memberitahu, orang ramai mungkin kurang mengetahui bahawa virus HIV itu terbahagi kepada dua iaitu HIV 1 dan HIV 2.

Katanya, HIV 1 merupakan jangkitan yang sangat berbahaya kepada orang ramai, manakala HIV 2 pula tidak begitu berbahaya. Begitupun, pemeriksaan awal itu amat penting kerana terdapat rawatan bagi mengelak ia merebak sehingga ke tahap AIDS.

“Pengguna juga tidak perlu berasa takut atau bimbang untuk menggunakan kit berkenaan kerana telah mendapat kelulusan daripada Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

“Di dalam bungkusan kit turut disediakan langkah-langkah penggunaan untuk memudahkan lagi mereka menggunakan peralatan terbaru ini,” katanya.

Ujar P.V Lingham lagi, pelbagai faedah dapat diperoleh orang ramai apabila melakukan ujian saringan awal HIV.

“Sebagai contoh, bagi pasangan Islam mereka kini perlu menjalani ujian HIV sebelum mendirikan rumah tangga. Kit ini dapat memudahkan proses berkenaan.

“Bagi mereka yang ingin menderma darah kit ini juga dapat membantu mempermudahkan proses menderma darah untuk menyelamatkan nyawa orang ramai,” katanya lagi.

Sementara itu, Perunding Psikologi Twinscan Holdings Sdn. Bhd., Aida Rohana Ismail, memberitahu, kit berkenaan juga amat sesuai digunakan oleh mereka yang mengamalkan gaya hidup tidak sihat.

“Mereka ini mungkin mempunyai perasaan was-was atau takut untuk melakukan ujian HIV kerana gaya hidup yang tidak sihat. Sekiranya pemeriksaan mendapati mereka telah dijangkiti HIV, mereka akan diberi kaunseling dan bimbingan untuk berdepan masalah berkenaan.

“Perkhidmatan kaunseling juga adalah bagi mereka yang merasa takut untuk membuat ujian ini. Kita akan mendengar apa yang ingin diluahkan dan bersama-sama mengatasinya,” katanya.

Ujarnya lagi, bagi yang dikesan positif HIV pula, sesi kaunseling amat bermakna bagi mengurangkan tekanan perasaan dan memastikan bagi golongan itu mempunyai kumpulan sokongan terutama bagi menangani stigma masyarakat.

Katanya, ujian awal HIV memainkan peranan penting untuk memastikan ia tidak merebak kepada orang lain.

“Mereka yang ingin menggunakan atau mendapat keputusan selepas mencuba kit berkenaan turut boleh mendapat khidmat nasihat melalui talian hotline 1-700-800-19,” ujarnya lagi.

Selain daripada menawarkan kit HIV, pengguna juga boleh mendapatkan kit Hepatitis B dan C.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana melawat BLOG Komuniti gempakZ. Jom Komen! Untuk mendapatkan "Notification" terhadap topik ini "klik" Subscribe by email.. TQ ^_^