Assalamualaikum dan salam Sejahtera..
Siapalah yang tidak kenal penyanyi berbakat besar yang sangat popular dengan pelbagai seleksi lagu yang sedap seperti keabadian cinta, lelaki ini, dan cinta harus memiliki ini? Walaupun perjalanan seni beliau dilihat agak perlahan pada awalnya dan jarang keluar album dalam masa singkat, namun peminat yang mengikuti karier seni beliau cukup ramai.
Karier seni beliau sebenarnya dilanda dengan pelbagai krisis yang kadangkala menyebabkan insan seni ini sedikit tertekan namun kesabaran yang ditanam meletakkan dirinya pada satu kelas yang tersendiri. Jom kita ikuti kisah suka duka Anuar zain sebagai insan seni.
KEJUTAN... Anuar Zain diraikan oleh pihak RAB9 Channel sempena hari lahirnya yang ke-42 sewaktu sidang akhbar yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini.
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar RASHID MAHFOF
MELIHAT kepada riak wajah yang sentiasa terukir dengan senyuman manis, tidak ramai yang tahu rupa-rupanya penyanyi lelaki ternama negara ini menyimpan cerita yang sudah lama dipendam. Bukannya tidak mahu berkongsi dengan masyarakat tetapi Anuar Zain lebih selesa untuk menunggu kemelutnya bersama bekas syarikat rakaman, Syncrosound Records tamat terlebih dahulu.
Dalam erti kata lain, dia tidak mahu mengeruhkan keadaan selagi keputusan tidak diputuskan oleh mahkamah. Bagi Anuar, biarlah segala-galanya selesai terlebih dahulu sebelum dia membuka versi ceritanya. Ini kerana kata Anuar, selama enam tahun naik turun mahkamah untuk menuntut haknya sebagai seorang penghibur, banyak kisah kurang enak yang bertebaran sehingga dia sendiri tidak mampu menutup mulut orang.
Lalu apabila keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Februari lalu berpihak kepadanya, Anuar sudah mampu menarik nafas lega apabila bekas syarikat rakaman itu perlu membayar royalti kepadanya sebanyak RM18,853.38. Walaupun gembira dengan keputusan itu, menurut Anuar, jumlah itu terlalu sedikit dan tidak setimpal dengan pengorbanan yang telah dilakukannya selama ini.
"Untuk itu, peguam saya sudah memfailkan rayuan bagi menuntut hak sebanyak RM63,000 seperti mana yang saya mahukan pada 13 Februari lalu. Bukannya saya tidak bersyukur dengan jumlah yang sudah ditetapkan itu.
"Tetapi bagi saya, ini adalah soal hak dan maruah. Orang ramai tidak tahu apa yang telah saya lalui selama sepanjang enam tahun kes ini berjalan di mahkamah.
"Saya bukan seorang yang tamak atau gilakan wang tetapi saya mahu ia berbaloi dan setimpal dengan apa yang telah saya lakukan selama ini ketika bersama dengan mereka (bekas syarikat rakaman)," luah Anuar ketika ditemui pada sidang akhbar Makan Tengahari Bersama Anuar Zain sempena minggu setiausaha yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur (KL) di ibu negara, baru-baru ini.
Cerita negatif tersebar
Cerita Anuar lagi, dia mempunyai sebab tertentu untuk menuntut lebih daripada apa yang telah diputuskan pihak mahkamah. Katanya, sewaktu penghasilan album keduanya berjudul Anuar Zain, hampir 80 peratus proses rakaman album tersebut adalah daripada inisiatif dirinya sendiri.
Baik dari segi pilihan lagu, konsep album, komposer sehinggalah ke pakaian serta pemilihan jurugambar untuk memotretkan wajahnya untuk kulit album, semuanya dilakukan sendiri oleh Anuar.
"Walaupun bajet diperuntukkan oleh mereka tetapi saya berkerja keras untuk menghasilkan album. Orang tidak tahu bagaimana susah payah dan perit jerih saya bagi memastikan album itu untuk siap.
"Bayangkan tempoh yang diambil oleh saya untuk muncul dengan album kedua daripada yang pertama adalah selama empat tahun.
"Dalam tempoh itu, saya berhadapan dengan pelbagai kerenah sehinggakan ada komposer yang tidak yakin dengan kemampuan saya untuk memberikan karya mereka.
"Kata mereka, saya tidak mampu mempopularkan lagu-lagu mereka tetapi saya sedikit pun tidak merungut mahupun melatah. Saya menganggap itu sebagai cabaran dan dugaan," cerita Anuar tentang album yang memuatkan lagu-lagu hits seperti Keabadian Cinta, Permata, Mungkin dan Semua Untukmu itu.
Apa yang dikesalkan Anuar sepanjang enam tahun kes tersebut berjalan apabila ada pihak yang cuba menabur fitnah sehingga pernah menjejaskan periuk nasinya. Pelbagai label negatif dilemparkan kepadanya sehingga dia menanggung malu tetapi Anuar lebih selesa mendiamkan diri dan berserah kepada Yang Maha Esa.
"Saya dikatakan sebagai seorang yang lupa diri, tidak sedar diri dan macam-macam lagi sehingga ia sangat mengguris hati. Memang kecewa kerana mudahnya orang menghakimi saya sedangkan mereka tidak tahu cerita sebenar dan apa yang berlaku.
"Alhamdulillah, berkat kesabaran dan sikap saya yang tidak mudah mengalah, akhirnya kebenaran terbukti juga. Saya tidak akan berputus asa sehingga hak saya tidak dituntut sepenuhnya," kata penyanyi yang cukup popular dengan lagu Bila Resah dan Ketulusan Hati ini optimis.
Mahu cari kelainan
Menutup cerita 'sedih' itu, Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Annuar Zain itu ditanya pula tentang respons album keempatnya yang masih lagi menggunakan nama pentasnya sebagai judul album itu. Memuatkan lagu popular seperti Ku Berjanji Karna Cinta dan Cinta Harus Memiliki, Anuar gembira dengan penjualan album tersebut di kala album fizikal hari ini kurang mendapat tempat di kalangan peminat. Walaupun tanpa promosi besar-besaran, setakat ini, album itu berjaya terjual sebanyak 11,000 salinan dan kata Anuar, angka tersebut sudah cukup dikira baik jika diukur dalam senario pasaran muzik ketika ini.
"Saya dan Universal Music selaku pengedar album itu akan duduk berbincang tidak lama lagi untuk mencari single seterusnya. Jika ditanya kepada saya, pilihan saya sudah tentulah lagu ciptaan Hazami berjudul Simpati Cintamu.
"Ini kerana rentak lagu tersebut adalah sesuatu yang berbeza dan saya mahu peminat melihat sisi lain saya menerusi lagu itu.
"Jika bukan Simpati Cintamu, berkemungkinan besar lagu Ajari Aku yang akan jadi pilihan," kata pemilik trofi Vokal Lelaki Terbaik Anugerah Industri Muzik sebanyak tiga kali itu lagi.
Selesa pengurusan baru
Umum pastinya sudah mengetahui tentang berita 'perpisahan' Anuar dengan bekas pengurusnya, Rohila Tahir tahun lalu. Tidak dinafikan berita itu memang mengejutkan kerana lebih sedekad lamanya Rohila menjadi pengurus Anuar. Secara tiba-tiba, semua berakhir begitu sahaja dan Anuar kini pun sudah pun mempunyai pengurus baru bernama Danil.
"Saya fikir sudah tiba masanya untuk saya beralih angin dan mencari udara yang lebih segar. Sudah lebih daripada 10 tahun saya dijaga oleh pengurus yang sama.
"Sebagai penghibur, saya memerlukan idea baru untuk meneruskan karier ini dan tidak mahu statik dengan cara yang sama. Jika ia berterusan, ia akan membuatkan kita mudah selesa dan mengambil kesempatan dalam apa hal sekali pun.
"Lalu, kami sepakat dan mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing. Saya tidak memecat mereka, sebaliknya mereka yang meletakkan jawatan.
"Syarikat saya, Anuar Zain Networks masih beroperasi tetapi apa yang berubah hanyalah pengurusan baru sahaja.
"Dalam masa yang sama, saya mendoakan yang terbaik buat mereka yang telah menguruskan kerjaya saya selama ini dalam bidang masing-masing selepas ini," kata Anuar penuh diplomasi.
Secara umum, penyanyi berusia 42 tahun ini memberitahu untuk menjadi seorang pengurus yang baik bukannya semudah yang disangka. Apa yang penting adalah skill komunikasi dan sikap bekerjasama. Selain itu, pihak pengurusan tidak boleh bersikap mendahului artis di bawah pengurusan mereka sebaliknya meletakkan artis sebagai keutamaan dan bukannya bertindak sendirian.
Katanya lagi, seseorang pengurus itu juga perlu menjadi bijak menangani situasi dan bukannya pandai-pandai membuat keputusan sendiri tanpa pengetahuan artis.
"Alhamdulillah, Danil cepat belajar dan cekap menjalankan tugasnya. Memang pada awalnya, ramai yang sukar untuk mendapatkan saya kerana situasi yang berlaku.
"Kini semuanya kembali berjalan lancar dan saya sendiri tidak mempunyai sebarang masalah. Saya cukup seronok dengan kerja saya dan seandainya Danil lulus dalam tempoh percubaannya, saya tidak teragak-agak untuk mengambilnya sebagai pengurus tetap," kata Anuar lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana melawat BLOG Komuniti gempakZ. Jom Komen! Untuk mendapatkan "Notification" terhadap topik ini "klik" Subscribe by email.. TQ ^_^