JoM! "LIKE"

KoMuNiTi gempakZ on Facebook

++Do LIKE @ SHARE ARTICLE++

Daun Gergasi

20 spesies endemik flora hanya boleh ditemui di hutan ini, tiada di tempat lain di dunia

SEKIRANYA wujud senarai keajaiban dunia bagi kategori flora dan fauna, rasanya Malaysia cukup layak untuk tersenarai kerana bumi hutan hujan tropika negara sememangnya kaya dengan khazanah alam semula jadi, mengandungi lebih 1,001 macam penemuan mengagumkan bagi dunia saintis dan pencinta alam.

Di Taman Negara Endau Rompin Peta, Johor saja sudah mencatatkan pelbagai penemuan, bahkan ketika dibuka secara rasmi oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (Perdana Menteri Malaysia pertama) pada Jun 1985, pasukan saintis pertama menemui lapan spesies endemik flora (tumbuhan).

Lapan spesies itu disahkan hanya ada di Endau Rompin, tidak ditemui di kawasan lain seluruh dunia dan berdasarkan kajian bertajuk ‘Revised and Updated Management and Development Plan for the Endau Rompin National Park, Johor’ (Disember 2000), jumlah itu meningkat kepada 20 spesies. Itulah kelebihan dimiliki hutan hujan tropika dianggarkan berusia 240 juta tahun dulu. Bak kata Pengurus Taman, Taman Negara Endau Rompin Peta, Johor, Kamarul Azhar Abdul Hamid, hutan itu sudah wujud sebelum zaman Jurasik, itulah perbandingan dan kelebihannya.

Berita Minggu berpeluang menyingkap dan melihat sendiri tiga endemik itu yang boleh dikatakan hanya serpihan kecil daripada penemuan saintifik berkenaan iaitu Livistona endauensis (pokok kipas), Johannesteysmannia altifrons (pokok daun payung) dan katak hijau (Rhacophorus tunkuii).

Semua itu sebenarnya berkait rapat dengan hidupan harian masyarakat Orang Asli Suku Jakun yang menetap di Kampung Peta, satu daripada pintu masuk ke Taman Negara terletak kira-kira 60 kilometer dari pekan Kahang.

Pokok kipas ini tergolong dalam keluarga pokok palma dan Orang Asli memanggil sebagai pokok sabun. Tumbuhan inilah yang sebenarnya ‘memayungi’ hutan Endau, selain pelbagai jenis pokok balak spesies kayu keras yang lain.

Batang pokok kipas umpama pokok pinang hiasan yang banyak ditanam di bandar besar, cuma daunnya berbeza disebabkan saiznya yang besar dan lebar, berbentuk hampir bulat umpama kipas tangan.

Ia juga digelar sebagai pokok pembuli kerana daunnya yang besar membentuk seakan khemah yang disusun rapat antara satu sama lain. Susuan daun itulah yang menghalang benih pokok lain untuk membiak dan tumbuh di situ kerana tersangkut pada daun sebelum sempat jatuh ke bumi.

Kebiasaannya, anak benih pokok disebarkan melalui angin dan akan jatuh di kawasan berhampiran tetapi perkara itu jarang berlaku di kawasan hutan pokok kipas, jika ada pun, ia tidak akan tumbuh segar kerana kurang mendapat sinaran cahaya matahari disebabkan keadaan rimbun susunan daun kipas.

Ia cukup unik dan boleh hidup di kawasan berbatu, semakin tinggi kawasan, lebih subur pokok kipas hidup membiak. Daun pokok kipas yang gugur dan kering didapati sangat licin jika dipijak, manakala akar yang hidup melilit pada batangnya disahkan mengandungi sejenis manisan yang boleh diminum.

Ketika kami mendaki bukit sepanjang laluan dari tapak perkhemahan Batu Hampar ke air terjun Buaya Sangkut, kawasan bawah hutan itu didapati agak terang kerana tidak banyak tumbuhan kecil di sekeliling pokok kipas.

Jadi, tidak hairanlah, kami turut menemui kamera binatang yang dipasang di hutan pokok kipas kerana ia adalah tempat paling sesuai merakam gambar binatang yang lalu di situ. Ada dua kamera dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Kamarul Azhar ketika mengulas keistimewaan dimiliki Taman Negara berkata, ketika ini pihaknya berusaha kuat memastikan kawasan itu layak diberi status sebagai Tapak Warisan Dunia yang menetapkan syarat ia mesti memenuhi mewajibkan kriteria eko-pelancongan dan kajian saintifik.

“Aspek pelancongan memang sedang rancak, kami kini meningkatkan keupayaan kajian akademik dengan memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Universiti Sains Malaysia, Universiti Tun Hussein Malaysia dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Mereka akan menjalankan banyak kajian rasmi kerana di sini memang mempunyai pelbagai bahan kajian menarik, juga sebagai tarikan pelancong,” katanya.

Spesies lain ialah Johannesteysmannia altifrons (pokok daun payung) yang biasanya dijadikan atap dan dinding rumah bagi Orang Asli. Dari jauh pokok itu kelihatan sama saiznya daripada pokok lain, tetapi apabila berada di bawahnya, sememangnya saiznya cukup berbeza, besar dan lebar.

Penduduk Orang Asli, Seman Man, 43, berkata pokok itulah yang digunakan generasi nenek moyangnya untuk membina atap dan dinding rumah kerana saiznya yang besar dan panjang.

“Sangat sesuai untuk berteduh ketika hujan. Sebab itulah kami gelar pokok payung, ada yang panggil payung gergasi. Bukan kami saja berteduh di sini, binatang pun cari tempat macam ini,” katanya.

Hakikat itu memang benar, bahkan jika dianggarkan seekor gajah dewasa berlindung di situ, ia masih mampu melindungi sebahagian badannya daripada terkena air hujan. Bahkan, pernah suatu ketika dulu, penduduk tempatan percaya ia juga tempat berlindung binatang misteri ‘Bigfoot’.

Pokok ini tidak mempunyai batang yang tinggi tetapi mempunyai pelepah panjang yang berduri serta banyak ditemui di kawasan yang lebih rendah dan agak pamah. Kami juga menemui seekor katak hijau yang dikategorikan sebagai endemik fauna dan periuk kera ‘Nepenthes ampullaria’.

INFO: Spesies endemik flora di Taman Negara Endau Rompin.
  • 1) Phllanthus watsonii
  • 2) Didissandra Kiewii
  • 3) Didimocarpus Falcatus
  • 4) Didimocarpus Craspedodromus
  • 5) Didimocarpus darisonii
  • 6) Didimocarpus Furcata
  • 7) Didimocarpus Staurogyne Scopulicola
  • 8) Hoya endauensis
  • 9) Dischidia sp
  • 10) Loxocarpus tunkuii
  • 11) Phyllagatis cordata
  • 12) Phyllagatis stolini fera
  • 13) Piptospata ridlei var lanceolata
  • 14) Racemobambos setifera
  • 15) Eriapudina (Johor dan Negeri Sembilan)
  • 16) Schoutenic furfuracae
  • 17) Calamus endauensis
  • 18) Licuala dransfieldii
  • 19) Licuala thoana
  • 20) livistona endauensis
Pokok daun payung (Johannesteysmannia altifrons)
  • Setiap pokok mempunyai lebih 15 pelepah hidup.
  • 200 helai pelepah diperlukan untuk membina sebuah rumah Orang Asli
  • Mampu bertahan sehingga 5 tahun jika disusun tebal.
  • Saiz pelepah hampir sama ketinggian lelaki dewasa.
  • Kini banyak digunakan Orang Asli untuk membina pondok dusun.
  • Banyak ditemui sepanjang laluan dari Kem Kuala Marong ke Takah Kunyit.
  • Bertindak sebagai penebat haba panas.
Pokok Kipas (Livistona endauensis)
  • Paling banyak hidup di Gunung Janing Barat setinggi 450 meter.
  • Sepanjang laluan dari Takah Kunyit ke Air Terjun Buaya Sangkut.
kredit to : bharian.com.my

1 ulasan:

Terima kasih kerana melawat BLOG Komuniti gempakZ. Jom Komen! Untuk mendapatkan "Notification" terhadap topik ini "klik" Subscribe by email.. TQ ^_^