Ozer penyambung khabar
Oleh Fairuz Zaidan
POSTO! Posto! Mengimbas kembali nostalgia mengirim surat ketika e-mel dan facebook menjadi medium generasi internet berkomunikasi, XY - Ikon Lelaki mendekati anak muda, Mohd Ozer Samsudin yang saban hari membawa khabar berita sebagai posmen!
DENGAN latar belakang Bangunan Sultan Abdul Samad di tengah-tengah Kuala Lumpur, sesi fotografi muka depan sisipan XY - Ikon Lelaki minggu ini memaparkan posmen dan basikalnya untuk mengimbau nostalgia si penghantar surat.
Dulu Jabatan Perkhidmatan Pos sekarang Pos Malaysia Berhad - institusi ini masih penting serta menjadi penghubung pelbagai pihak termasuk industri. Kerjaya posmen yang dipikul Mohd Ozer Samsudin, 23, nyata masih relevan. Cerita Mohd Ozer, masyarakat rata-rata tidak tahu tugas dan tanggungjawab posmen - bukan sekadar penghantar surat dan dokumen atau barangan pukal.
Mungkin ada yang menganggap fungsi surat tidak sehebat dulu ketika semua orang mengirim SMS atau e-mel. Sebenarnya, surat masih lagi penting... Jumlah surat yang diterima dan diuruskan Pos Malaysia Berhad masih banyak terutama setiap kali tibanya musim perayaan, katanya berkongsi skop kerjaya sebagai posmen.
Menurut Mohd Ozer, tugas sebagai posmen menawarkan skop kerjaya besar sesuai dengan evolusi dibawakan Pos Malaysia melalui produk seperti PosMel, PosLaju, Posniaga dan PosLogistik. Profesion sebagai posmen tidak sekadar menghantar surat dari rumah ke rumah. Banyak peringkat dan pengkhususan yang terbabit dalam melicinkan proses penghantaran surat.
Sebagai posmen, saya ditugaskan di Unit Buka Karung untuk proses awal penerimaan surat. Selain bahagian ini, unit lain termasuk bahagian pengurusan dokumen, bungkusan, surat berdaftar, menyemak alamat tidak lengkap hinggalah kandungan surat meragukan, katanya jejaka tinggi lampai ini.
Menyingkap sisi berbeza jejaka kelahiran Kuala Lumpur ini, Mohd Ozer pernah mencuri tumpuan ketika muncul pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 di Genting Highlands. Beliau tampil penuh simbolik dengan mengayuh basikal membawa keputusan pemenang Bintang Paling Popular Berita Harian 2008 pada malam gemilang itu.
Masih teringat rasa gementar dalam hatinya ketika muncul di pentas ABP, Mohd Ozer berkongsi rahsia hati dan misinya sebagai posmen moden...
Bagaimana anda menghuraikan profesion anda sebagai posmen ketika dunia gah dengan internet?
Kerjaya ini sebenarnya menuntut cabaran agak besar dan menarik untuk diterokai. Saya tahu, tidak ramai tahu apa sebenarnya tugas posmen selain menghantar surat ke muka pintu.
Sebenarnya, banyak tugas lain dipikul dalam proses penghantaran surat kepada penerimanya. Apatah lagi setiap kali tiba musim perayaan, jumlah surat atau kad ucapan yang diterima melambung!
Bagaimana anda berdepan situasi yang membebankan seperti itu?
Adat bekerja, saya akui ada ketikanya sedikit tertekan. Tetapi, itu semua asam garam tugas. Faktor sampingan termasuk dorongan teman sekerja banyak membantu melancarkan kerja hari-hari.
Apa agaknya sifat paling utama yang perlu ada dalam diri seorang posmen?
Amanah... Ini harus disemat dan menjadi keutamaan bagi posmen. Sifat ini penting bagi memastikan setiap surat atau bungkusan selamat sampai ke alamat yang dikirimkan.
Boleh anda berkongsi detik awal menjadi posmen?
Jika diikutkan, cita-cita saya bukanlah menjadi posmen. Namun, peluang terbuka di depan mata. Bagi saya, tidak salah mencuba dan akhirnya, saya seronok. Sekarang, sudah tiga tahun saya menjadi posmen.
Jika hendak tahu, saya mewarisi kerjaya bapa yang juga bertugas sebagai posmen sehingga beliau bersara..
Mengapa memilih kerjaya sebagai posmen?
Seperti yang saya katakan, saya sendiri tidak menduga bekerja sebagai posmen. Biarpun ayah memikul tugas sama, saya sebenarnya tidak tahu apa skop tugas posmen sehinggalah menyertai Pos Malaysia.
Saya lihat, apa yang disangka pada awalnya, jauh berbeza. Banyak sebenarnya cabaran sebagai posmen.
Secara khusus, apakah skop bidang anda dalam Pos Malaysia Berhad?
Saya ditempatkan di Unit Buka Karung dengan pembahagian khusus surat surat dan surat berdaftar dari Perak dan Johor. Selain domestik, saya juga menguruskan barangan dari luar negara yang dibawa masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Apa agaknya cabaran terbesar posmen?
Selain perlu fokus pada kerjaya dan tugas, seorang posmen tidak boleh menghilangkan surat atau bungkusan! (tersenyum).
Mungkin anda ada gambaran mengenai operasi Pos Malaysia jika dibandingkan dengan institusi sama di luar negara?
Jika hendak mengambil kira soal servis dan perkhidmatan, mungkin sama saja. Namun, Jepun menjadi antara negara yang maju dalam sistem penghantaran surat. Pos Malaysia juga tidak kurangnya, kita sudah mampu menawarkan perkhidmatan bermutu.
Apa yang membanggakan anda bekerja sebagai posmen?
Mungkin ramai tidak sedar kepentingan posmen iaitu menjadi perantara, sama ada dalam menyampai berita suka atau duka. Sebagai orang tengah, saya teruja dalam memudahkan perhubungan sesama insan.
Apa agaknya sisi berbeza anda?
Andai tidak terikat dengan urusan kerja, masa banyak dihabiskan bersama rakan-rakan dan keluarga. Waktu cuti memang dimanfaatkan bersama mereka untuk melakukan pelbagai aktiviti riadah, menonton filem dan melepak.
Kisah surat, dikejar anjing
DALAM rancak berkongsi cerita, Mohd Ozer ditanya perihal surat yang dihantar pengirim. Memberi sedikit gambaran, posmen muda itu mengakui bermacam konsep dan jenis surat diterima sepanjang beliau bertugas sebagai posmen.
Kami menerima sampul surat pelbagai warna, konsep dan saiz yang cukup kreatif. Banyak ceritanya kerana surat meragukan perlu diperiksa sebelum dihantar ke alamat tertera.
Sesetengah surat yang diproses terpaksa disaring bagi menyelidik isi kandungannya, kata jejaka ini.
Ditanya langkah susulan andai berdepan surat atau bungkusan meragukan, Mohd Ozer berkata, lazimnya ujian x-ray dilakukan bagi mengesahkan kandungan surat terbabit.
Kata Mohd Ozer, langkah itu diambil bagi memastikan proses penghantaran surat atau barang pukal dikendalikan secara telus dan tidak menyalahi undang-undang.
Ditanya apa barangan pelik dihantar pengirim, beliau berkata:
Pada suatu insiden, kami pernah menerima surat berisi abu mayat yang dikirim dari sebuah negara selepas ujian x-ray dikendalikan, katanya.
Mengenai kesukaran menjalankan tugas posmen, Mohd Ozer berkata, selain gagal menemui alamat yang tertera pada sampul surat, posmen juga berdepan ancaman anjing yang suka mengejar mereka.
Kisah posmen dikejar anjing bagai suatu topik lazim terutama jika posmen terbabit bertugas di Cheras atau Jinjang.
Sudahlah menyukarkan posmen untuk menghantar surat, pemilik anjing juga tidak peka hingga haiwan peliharaan mereka mengancam keselamatan orang lain, katanya mengakhiri perbualan.
Ozer mengulas mengenai...
- Koleksi setem - Saya ketika kecil memiliki dua album penuh berisi setem. Sekarang, saya turunkan minat itu kepada anak buah.
- Lelaki & jenayah - Faktor sekeliling antara pendorong lelaki terbabit dengan kes jenayah. Selain dadah, masalah sampingan dan tekanan turut menyebabkan lelaki memilih jalan singkat melakukan jenayah.
- Malaysia akan lebih harmoni jika... - Semua rakyat tidak kira latar belakang, agama dan fahaman bersatu, saling menyokong dan bantu membantu untuk membangunkan negara.
- Nama : Mohd Ozer Samsudin
- Umur : 23 tahun
- Tarikh lahir : 2 Januari 1987
- Tempat lahir : Kuala Lumpur
- Tinggi : 182 sentimeter
- Berat : 67 kilogram
- Profesion : Posmen
- Status : Bujangar surat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana melawat BLOG Komuniti gempakZ. Jom Komen! Untuk mendapatkan "Notification" terhadap topik ini "klik" Subscribe by email.. TQ ^_^