KEJAHILAN dan ketamakan manusia dalam mengejar harta, kuasa dan keabadian hidup sehingga sanggup menentang ajaran Tuhan, akhirnya membawa padah kepada diri sendiri. Terbaru, jangan lepaskan peluang mengikuti drama bersiri seram dan mistik bakal menghiasi kaca televisyen anda pada bulan ini.
Menerusi slot Seram, Penunggu Gunung Raya akan disiarkan mulai 18 Februari ini, setiap hari Khamis, jam 9.30 malam. Diterbitkan oleh Filmscape dan disiarkan sebanyak 13 episod, Penunggu Gunung Raya adalah hasil arahan pengarah yang cukup berbakat, Faisal Ishak dan diilhamkan oleh Alfie Palemo yang bertanggungjawab sebagai penulis skrip drama.
Hampir keseluruhan penggambaran babak dijalankan di kawasan Ulu Yam, Batang Kali dan dijayakan oleh barisan pelakon hebat seperti Zizan Nin, Emelda Rosmila, Fouziah Gous, Sahee D, Rosli Sako, Rahhim Omar, Ibu Aida, Atta Imran dan ramai lagi.
Berlatar belakang sebuah kampung yang dinamakan Gunung Raya, drama bersiri seram ini mengisahkan sebuah mimpi misteri yang sering menghantui empat individu, Azam, Intan, Mas dan Omar yang sebenarnya terikat dengan kisah silam masing-masing.
Kisah bermula dengan Azam (Zizan Nin) seorang penulis novel seram yang terkenal tetapi kehidupannya kusut akibat sering diganggu oleh jelmaan bekas teman wanita yang membunuh diri kerana terlalu kecewa selepas putus cinta dengannya. Intan (Emelda Rosmila) pula seorang janda muda yang baru kematian suami dalam sebuah kemalangan jalan raya dan dirundung resah gelisah kerana berasakan kandungannya bukan anak manusia.
Manakala Mas (Fouziah Gous) pula diburu rasa ketakutan dan bersalah selepas membunuh kekasihnya, Datuk Kadir. Hidup Mas pada dasarnya nampak bahagia kerana dilimpahi kemewahan selepas menjadi perempuan simpanan ahli perniagaan berjaya. Namun, hatinya sentiasa tertekan lantas mengambil tindakan drastik dengan membunuh kekasihnya sendiri.
Berbeza pula dengan Omar (Sahee D), seorang pemaju hartanah yang hanya mementingkan keuntungan dan sanggup membuat apa sahaja untuk mencari kekayaan. Malangnya, Omar terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah sejak cuba menerokai kawasan di Kampung Gunung Raya.
Mimpi aneh inilah yang akan menyatukan kembali empat sahabat yang sudah lama terpisah hingga pulang ke Kampung Gunung Raya. Ketika masih kanak-kanak, mereka selalu dibuli oleh anak ketua kampung, Dayak (Atta Imran). Suatu hari, mereka memperdayakan Dayak ke perigi berhantu yang terletak di tengah hutan. Dayak terjatuh dan mati.
Tanpa diketahui, darah Dayak membebaskan iblis iaitu Penunggu Gunung Raya yang dikurung dalam peti kuno di bawah perigi. Atas tunjuk ajar Lebai Awang (Rahim Omar), mereka berjaya menumpaskan iblis tersebut. Namun, hasil daripada kejadian tersebut menyebabkan mereka hilang ingatan dan dihantar ke bandar bagi memulakan kehidupan baru.
Namun, Tok Sumun (Rosli Sako) berasa sangsi akan kematian anaknya dan mahu menuntut bela. Maka, Tok Sumun menyeru kepada Penunggu Gunung Raya untuk terus mengganggu pembunuh anaknya. Setelah sekian lama, Azam, Intan, Mas dan Omar kini merasakan nyawa mereka terancam selain diburu rasa ketakutan atas dosa yang dilakukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana melawat BLOG Komuniti gempakZ. Jom Komen! Untuk mendapatkan "Notification" terhadap topik ini "klik" Subscribe by email.. TQ ^_^