BIAR apa sahaja tanggapan sesetengah pihak tentang kredibiliti Muzik-Muzik yang dilihat semakin menunjukkan paras menjunam, hakikatnya ia terus berada pada kedudukan tersendiri sekali gus mencerminkan peranan penting kepada penggiat seni tanah air.
Bukan calang-calang, Muzik-Muzik banyak membantu menaikkan populariti para penyanyi dan komposer-komposer yang bertanding. Menang ataupun kalah bukan soal utama di sini. Pentas Muzik-Muzik terutama gelanggang AJL dilihat menjadi platform anak-anak seni untuk mencipta kemasyhuran lalu dikenali peminat. Senang cerita, kalau tiada Muzik-Muzik maka tiadalah AJL.
Selain itu, pelbagai ragam dan telatah para penyanyi yang bertanding pada setiap anugerah berprestij itu dilihat cukup mengujakan audiens. Ada yang kelihatan lucu dan menarik perhatian. Bahkan ada juga yang bersungguh-sungguh melampiaskan segenap emosi tatkala melontarkan vokal sebagai pelengkap penampilan di pentas. Masing-masing tidak mahu kalah dengan pesaing lain lalu muncul dengan ilham sendiri.
Ramlah dengan lampu hati
Keunikan pakaian berbentuk kunci dan hati yang dipakai Ramlah Ram semasa melagukan karya Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu pada Juara Lagu 1988 telah menjadi sebutan ramai dan diingati sehingga ke hari ini. Ia melayakkan Ramlah menerima anugerah Persembahan Terbaik.
Sembilan tahun kemudiannya, baju itu dipakai oleh peserta rancangan Akademi Fantasia musim kelima (AF5), Mila sebaik sahaja usai Heliza mendendangkan lagu Diam-Diam Jatuh Cinta nyanyian asal Ramlah Ram pada minggu kelima itu.
Sudirman dengan pemetik api
Penghibur kesayangan ramai, Datuk Sudirman Arshad memenangi kategori Persembahan Terbaik pada Juara Lagu 1987 menerusi lagu Merisik Khabar ciptaan Manan Ngah dan lirik Habsah Hassan dengan mengambil latar dan suasana kelam, sambil tangannya menyalakan pemetik api. Adegan menggambarkan kedukaan yang sarat itu menyentap emosi penonton sehingga khabarnya seluruh dewan acara sunyi sepi, bagaikan turut merasa kesedihan dilalui Sudirman setelah kehilangan orang yang disayanginya. Ada peminat menangis melihat aksi sedih penyanyi legenda dipanggil Sudir ini.
Aishah dengan beg besar
Penyanyi popular, Wan Aishah Wan Ariffin atau Aishah menampilkan teaterikal pendek di pentas semasa mendendangkan lagu Janji Manismu. Ramai yang tergamam melihat lakonan menjadi Aishah yang memegang watak wanita kecewa, patah hati lalu membawa diri jauh daripada insan kesayangannya. Simbolik di sebalik sebuah beg besar, Aishah memukau khalayak meskipun adegan itu hanya berlangsung tidak sampai satu minit. Percaturan Aishah yang turut menggunakan hiasan seperti lampu tidur, gambar (sampai kini tidak diketahui potret siapakah di dalamnya) dan meja kecil ternyata tidak sia-sia apabila dia membawa pulang trofi Juara Lagu 1990 dan Persembahan Terbaik.
Shima dijulang oleh penari
Kehadiran penyanyi rock wanita terkenal, Shima sewaktu mendendangkan lagu Setelah Aku Kau Miliki hasil nukilan Saari Amri pada Juara Lagu 1991 dengan dijulang oleh beberapa penari lelaki mencipta kontroversi kerana gaya sebegitu dianggap cukup berani oleh seorang artis wanita. Begitupun, gimik Shima nampaknya menjadi apabila menggondol anugerah Persembahan Terbaik dan pemenang Juara Lagu.
Noraniza bawa satu kampung
Siapa yang pernah menonton tentunya tidak akan sesekali melupakan persembahan penyanyi tradisional, Noraniza Idris sewaktu mempertandingkan lagu Dikir Puteri ciptaan Pak Ngah dan Hairul Anuar Harun pada malam Juara Lagu 1998. Hampir penuh pentas dibuatnya dengan kehadiran Noraniza dengan penari iringannya yang melebihi 20 orang itu. Ada suara nakal ahli media dalam gurauan bertanya: "Noraniza bawa satu kampung ke pentas, kenapa tak bawa lembu, itik dan ayam sekali?" Penyanyi itu bagaimanapun sekadar berpuas hati apabila meraih kategori Persembahan Terbaik.
Enggan menyerah kalah, Noraniza terus membuat persembahan yang dianggap unik apabila menyanyikan lagu Dondang Dendang (Pak Ngah/Hairul Anuar Harun) pada Juara Lagu 1999 sekali gus memenangi Persembahan Terbaik selama dua tahun berturut-turut. Dalam Juara Lagu 2000 dia memperjuangkan dua buah lagu iaitu Ngajat Tampi ciptaan Rosli Selasih dan Siso serta Tinting (Pak Ngah/Hairul Anuar Harun) dan Ngajat Tampi mengungguli Persembahan Terbaik.
Nama Siti terus jadi sebutan
Kehadiran budak kampung mentah, Siti Nurhaliza Tarudin yang kini bergelar Datuk pada awalnya seakan-akan tiada sesiapa sudi memandang. Selepas anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu memenangi Juara Lagu 1996 menerusi lagunya, Jerat Percintaan ciptaan Adnan Abu Hassan dan Othman Zainuddin itu, barulah ramai yang membuka mata tentang kehebatan vokalnya yang tiada tandingan.
Hampir menarik diri daripada menyertai Juara Lagu 1996 kerana sedang bergelut dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan risau ditewaskan Ziana Zain, Siti bagaimanapun boleh tersenyum puas kerana turut membawa pulang anugerah Persembahan Terbaik. Penyanyi kacak, Anuar Zain muncul pada persembahan itu dengan berdiri di belakang kerusi sambil tangannya terikat.
Selepas itu, nama Siti terus mekar di Juara Lagu apabila dia melakar kejayaan dari setahun ke setahun tanpa mampu diganggu-gugat dengan lagu-lagu yang dipertandingkan seperti Aku Cinta Padamu pada tahun 1997, Ya Maulai (2001), Nirmala (2002) dan Ku Milikmu (2003) dan banyak lagi.
Elyana ratu berkaki ayam
Elyana tidak memakai kasut ketika membuat persembahan lagu Tak Tercapai Akalmu ciptaan Aidit Alfian dan Ad Samad dengan konsep 'suka hati' pada AJL 21. Dia juga mencipta kejutan dengan menyanyi sambil duduk bermula awal hingga akhir lagu Kalis Rindu ciptaan Aidit Alfian dan Ad Samad pada AJL 23 seperti yang pernah dibuat oleh Jamal Abdillah pada Bintang RTM 1979.
Farawahida dengan kebudayaan Cina
Menampilkan kelainan pada AJL edisi 23, penyanyi berbakat besar, Farawahida yang membawakan lagu Persoalan Cinta ciptaan Julfekar/Ku Seman/Izza Rosley hadir di tengah-tengah pentas sambil menggayakan busana dengan unsur kebudayaan Cina.
Nampaknya kali pertama persembahan pada sejarah AJL yang mengenengahkan kebudayaan bangsa lain sambil menggunakan instrumen yang dikenali sebagai erhu dan memenangi kategori lagu Etnik Kreatif AJL 23 sekaligus meraih wang tunai berjumlah RM12,000.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana melawat BLOG Komuniti gempakZ. Jom Komen! Untuk mendapatkan "Notification" terhadap topik ini "klik" Subscribe by email.. TQ ^_^