Samsudin Osman (kanan) tertarik dengan sebahagian landskap ketika membawa media meninjau persiapan Floria 2010 di Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA 8 Julai - Buat pertama kalinya 10 pakar dan pereka bentuk landskap antarabangsa dari sembilan negara yang menggondol pelbagai anugerah akan menyertai Festival Bunga dan Taman Putrajaya 2010 (Floria) bermula Sabtu ini hingga 18 Julai.
Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Samsudin Osman berkata, kesemua peserta terbabit didatangkan khas dari United Kingdom (UK), Australia, Jepun, Belanda, Serbia, New Zealand, Kanada, Indonesia dan Taiwan.
"Buat pertama kalinya juga Malaysia mempamerkan 'Twilight Garden' manakala di dalam pavilion menggunakan kesan cahaya, keunikan suasananya akan dihasilkan dengan menggunakan susunan deretan lampu dan juga kesan air.
"Para pengunjung pasti akan terpegun dengan hasil konsep yang boleh diguna pakai untuk taman rumah dan korporat.
"Floria yang diadakan di pesisiran tasik Presint 2 ini terbuka untuk kunjungan dari Sabtu ini hingga 18 Julai bermula pukul 9 pagi hingga 10 malam," katanya kepada pemberita selepas majlis prebiu untuk media di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah Jabatan Landskap dan Taman Perbadanan Putrajaya, Mohammad A. Shukor.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual menyempurnakan perasmian Floria Sabtu ini manakala majlis penutup oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
Floria yang bertemakan 'Keindahan Tropika' menggambarkan kecantikan alam semulajadi - diceriakan dengan pelbagai bunga-bungaan tropika yang unik, berwarna warni dan menarik serta diadun dan disusun kreatif dalam suasana landskap taman.
Menurut Samsudin, ratusan ribu pengunjung akan disajikan dengan pameran berkonsep taman luar, taman korporat, grower display garden, tanaman orkid, tanaman bonsai dan heliconia.
Sebanyak 180 aktiviti menarik seperti anyaman bakul manik, demonstrasi gubahan bunga, ukiran kayu, menghias kek cawan, membuat bakul seramik dan pertandingan fotografi disediakan untuk pengunjung sempena pesta flora berkenaan. Sementara itu, Mohamad berkata, pemilihan bunga heliconia sebagai tema dibuat ekoran sifatnya yang mudah dipadankan dengan sebarang konsep hiasan dan gubahan bunga atau landskap.
Katanya, terdapat 520 spesies heliconia di seluruh dunia dengan 150 spesies di Asia Tenggara dan 100 spesies di Malaysia dengan 60 darinya spesies mudah berbunga.
"Memang heliconia ini spesies tumbuhan liar tetapi sekarang digunakan secara meluas sebagai elemen landskap dan harganya dari serendah RM4 hingga RM1,500.
"Bunga heliconia ini pula terdiri dari dua jenis iaitu menegak dan berjuntai serta mempunyai permukaan bunga yang licin dan berbulu, ia amat sesuai ditanam dan hidup subur di negara ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana melawat BLOG Komuniti gempakZ. Jom Komen! Untuk mendapatkan "Notification" terhadap topik ini "klik" Subscribe by email.. TQ ^_^