JoM! "LIKE"

KoMuNiTi gempakZ on Facebook

++Do LIKE @ SHARE ARTICLE++

Sydney Kota Pelancongan


Sydney kota pelancongan

Selain pelbagai tempat menarik, kewujudan lebih 200 restoran halal tarik minat pengunjung Islam

MELANCONG ke luar negara memang menjadi impian setiap orang. Bagaimanapun, bagi umat Islam, kadang kala kesukaran mencari makanan halal ketika melancong ke negara bukan Islam sering membantutkan hasrat mereka untuk berbuat demikian.


Sebenarnya masalah itu bukan alasan sebenar jika mereka yang ingin melancong ke negara bukan Islam menjalankan sedikit kajian dengan ‘mengintai’ mana-mana laman web badan pelancongan negara berkaitan atau pertubuhan Islamnya.

Ini dilakukan penulis ketika diberi peluang melancong ke Sydney, New South Wales atas undangan Tourism Australia, baru-baru ini.

Memang melegakan kerana ada lebih 200 restoran makanan halal di kota metropolitan itu yang diusahakan umat Islam keturunan Lubnan, Arab, Pakistan, India, Indonesia atau dari Malaysia yang sudah lama bermastautin di negara berkenaan.

Sydney bukan asing bagi masyarakat Malaysia. Jika anda toleh ke kiri atau ke kanan, anda pasti dapat melihat wajah rakyat negara ini, terutama keturunan Melayu dan Cina. Malah, ramai pelajar kita yang belajar di Universiti New South Wales (UNSW), Sydney.

Lebih menyeronokkan penulis berpeluang menemubual Pengerusi Badan Pensijilan Halal Australia, Mohamed El-Mouelhy. Dalam pertemuan itu beliau mengesahkan umat Islam tidak perlu risau mendapatkan makanan halal di kota metropolitan itu.

“Lebih 200 restoran makanan halal wujud di sini. Malah, apa yang dipraktikkan di Australia mempunyai persamaan dengan Malaysia kerana sebelum sesebuah restoran atau pasar raya itu mendapat pengiktirafan halal, pihaknya menggariskan beberapa syarat yang harus dipatuhi oleh pemilik premis berkenaan.

“Contoh, sesebuah premis yang ingin mendapatkan sijil halal perlulah mengemukakan permohonan dan selepas itu pihaknya akan menjalankan siasatan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan merangkumi pembekalan makanan, bahan yang digunakan untuk memasak dan sekiranya mereka menyediakan masakan berasaskan daging, pihaknya akan pergi menyiasat rumah penyembelihan yang membekal daging itu.

Menurut undang-undang kerajaan Australia, mereka yang didapati mengeksploitasi sijil halal boleh didenda sehingga A$100,000 (RM270,000).

Bagi pelancong Islam yang ingin mendapat maklumat lanjut berhubung makanan halal di Australia, mereka boleh melayari laman web www.halalauthority.org atau www.halalhelpline.org.

Apa istimewanya Sydney? Kota metropolitan itu sebenarnya menawarkan pelbagai destinasi menarik yang mesti dilawati. Antaranya Sydney Opera House, Sydney Harbour Bridge, Akuarium Sydney, Pantai Bondi, Masjid Gallipoli, The Rocks Market, Paddy’s Market, The Australia Reptile Park, Taman Marks dan pelbagai lagi.

Sydney Opera House atau Rumah Opera Sydney mempunyai reka bentuk bangunan abad ke-20 yang unik dan terkenal. Rumah opera ini yang juga terletak berdekatan dengan Sydney Harbour Bridge di Darling Harbour menjadikan kedua-duanya sebagai mercu tanda untuk Australia.

Rumah opera ini memiliki daya tarikan dengan reka bentuk bersumberkan cengkerang laut. Selain daripada objek pelancongan, rumah opera ini juga menjadi tempat untuk pelbagai pertunjukkan teater muzikal, opera, balet dan lain-lain seni teater. Reka bentuknya berdasarkan kerja Jorn Utzon, seorang arkitek dari Denmark pada 1957.

Akuarium Sydney yang memelihara lebih 11,000 hidupan laut termasuk jerung dan anjing laut pastinya sesuai untuk kunjungan keluarga terutama kanak-kanak. Mereka pastinya seronok melihat kenakalan anjing laut ketika diberi makanan oleh pelatihnya. Kedudukannya hanya beberapa meter dari Sydney Opera House sekali gus memudahkan anda singgah sebentar di akuarium itu.

Selepas seronok melihat pelbagai jenis ikan, mungkin anda boleh membawa keluarga bermandi manda di pantai Bondi. Selain pemandangan cantik dan pasir memutih, anda berpeluang bermain papan luncur air yang sungguh menyeronokkan.

Mungkin selepas penat anda boleh berehat sebenar di restoran makanan laut di pantai berkenaan sebelum meneruskan perjalanan untuk membeli belah di The Rocks Market dan Paddy’s Market yang menyediakan pelbagai kraftangan dan pakaian dengan harga berpatutan untuk dijadikan buah tangan atau kenang-kenangan.

Anda juga seharusnya tidak melepaskan peluang untuk ke The Australia Reptile Park. Di taman ini, anda boleh menyaksikan pelbagai jenis spesies buaya dari seluruh dunia yang ditempatkan di sini.

Sebenarnya jika anda mengambil keputusan untuk melancong selama tiga hari dua malam di Sydney, tempoh itu tidak mencukupi bagi anda dan keluarga menikmati kelebihan dan keindahan kota metropolitan berkenaan.

Bagaimana ke sana?

Menaiki pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang menyediakan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney yang mengambil masa perjalanan selama kira-kira lapan jam.

FAKTA: Australia

* Badan Persijilan Halal Australia ditubuhkan pada 1993.
* Persatuan Islam Australia mempunyai ahli seramai 8,000 orang.
* Sydney Opera House berusia lebih 34 tahun dibuka secara rasmi Ratu Elizabeth pada 20 Oktober 1973.
* Pembinaan Sydney Operas House dimulakan pada 1959 membabitkan 10,000 kontraktor dengan perbelanjaan sebantak A$102 juta.
* Lebih 1.2 juta pengunjung melawat Sydney Aquarium setiap tahun.
* Masjid Gallipoli di North Parade Auburn yang bina mengikut reka bentuk Turki adalah masjid terbesar di Australia.
* Masjid Gallipoli dibina pada 1999 membabitkan perbelanjaan sebanyak A$6 juta.
* Paddy’s Market dibina lebih 150 tahun dan peniaga kebanyakannya membabitkan orang Asia.
* The Australia Reptile Park and Wildlife Sanctuary beroperasi sejak 1948.

sumber: http://mazlan66.wordpress.com/2008/02/28/sydney-kota-pelancongan/


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana melawat BLOG Komuniti gempakZ. Jom Komen! Untuk mendapatkan "Notification" terhadap topik ini "klik" Subscribe by email.. TQ ^_^