Golden Palm Tree Resort buka lembaran baru industri pelancongan
Golden Palm Tree di Sepang Gold Coast, Sepang kini sedia menerima kunjungan pelancong.
SEPANG 11 Julai - Golden Palm Tree Resort milik Sepang Goldcoast Sdn. Bhd. (Sepang Goldcoast) yang tersergam sepanjang 1.2 kilometer ke tengah laut Selat Melaka kini bersedia membuka satu lembaran baru kepada industri pelancongan negara.
Ini kerana resort unik berbentuk pohon kelapa sawit yang dibentuk dari 399 vila mewah yang mula dibina pada 2007 itu kini bersedia menerima kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara.
Resort berbentuk unik yang tercatat dalam Malaysia Books Of Record sebagai terpanjang di negara ini menjanjikan pemandangan memukau kerana pelancong berpeluang menyaksikan keindahan panorama matahari terbit dan terbenam.
Berlatarbelakangkan keindahan alam semula jadi, resort terapung dalam lingkungan laut itu menjanjikan penginapan mewah, bilik yang luas lagi selesa berserta hiasan dalaman menggabungkan ciri tradisional dan moden Asia.
Terdapat lima jenis bilik penginapan di Golden Palm Tree Resort iaitu traveller palm vila, premier traveler palm vila, canary palm vila, ivory plam vila, dan royale pam vila.
Setiap bilik dilengkapi televisyen LCD, kotak deposit keselamatan, mesin pembuat kopi dan teh, akses Internet jalur lebar berkelajuan tinggi, saluran televisyen satelit, balkoni persendirian menghadap laut, video atas permintaan, bar mini, mesin pengering rambut, penghawa dingin dan kipas syiling.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yanki Regan berkata, percutian di resort itu menjanjikan pengalaman menarik yang tidak akan dilupakan kepada sesiapa sahaja sama ada untuk percutian bersama keluarga, berbulan madu atau apa jua urusan perniagaan.
Beliau berkata, pengunjung dapat menikmati dan meneroka keindahan alam semula jadi dan kehidupan marin yang eksotik.
"Para pengunjung boleh mencuba aktiviti rekreasi yang disediakan oleh pihak resort antaranya sukan laut bermotor, kegiatan eko pelancongan ke taman paya bakau, aktiviti memancing, agro pelancongan di kawasan pertanian, aktiviti sukan pantai dan basikal sewa.
"Selain itu, kemudahan yang ditawarkan adalah WiFi di ruang lobi, pertukaran mata wang asing, pengesahan tiket penerbangan, perkhidmatan kenderaan ke lapangan terbang, perkhidmatan bas, khidmat dobi, pusat gimnasium, spa, kolam renang dan pembukaan restoran selama 24 jam," katanya pada majlis prapelancaran resort tersebut baru-baru ini.
Lokasinya mudah untuk dikunjungi kerana hanya mengambil masa 25 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan 45 minit dari pusat pentadbiran Putrajaya serta 75 minit dari Kuala Lumpur untuk ke Golden Palm Tree. Pengunjung akan disambut dengan layanan mesra daripada pekerja-pekerja resort yang berusaha menjaga kualiti perkhidmatan agar setanding dengan hotel bertaraf antarabangsa.
Para pengunjung turut disajikan dengan hidangan tempatan dan antarabangsa berserta seni kulinari dengan gaya tersendiri mengikut cita rasa orang Asia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana melawat BLOG Komuniti gempakZ. Jom Komen! Untuk mendapatkan "Notification" terhadap topik ini "klik" Subscribe by email.. TQ ^_^