Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Welcome to my iGLoO
Saya percaya ramai peminat-peminat ning Baizura di luar sana. ning baizura salah seorang artis yang memiliki aura dan Vokal yang cukup mempersonakan. Vokal Soprano beliau adalah yang terbaik dibandingkan dengan artis Soprano yang lain. Setelah 15 tahun tak buat konsert akhirnya beliau telah tampil dengan konsert mega! Jom baca sedikit tentang konsert tersebut~
Ning Baizura: Tampilkan persembahan bertenaga dengan rangkaian lagu terbaik nyanyiannya
KALI terakhir dia mengadakan sebuah konsert berskala mega adalah sewaktu menjayakan konsert Teguh di Stadium Negara iaitu kira-kira 15 tahun lalu. Kini selepas 18 tahun mengharungi liku-liku hidup sebagai seorang anak seni, penyanyi Ning Baizura Hamzah kembali mengulangi situasi yang serupa apabila tampil dengan konsert Ning@KL, yang juga sebuah terjemahan perjalanan kerja seninya yang dirangkumkan menerusi nyanyian dan juga visual bunga sebagai simbolik kepada dirinya. Dan pada Jumaat lalu, penggemar tegar penyanyi bersuara soprano ini sanggup meredah kesesakan jalan raya menuju ke lokasi yang terletak di kawasan segi tiga emas semata-mata kerana mahu menyaksikan Ning beraksi di konsert itu.
Selepas berbulan-bulan promosi mengenai konsert itu diuar-uarkan, akhirnya kerinduan peminat terubat apabila penyanyi itu muncul dengan konsert solo anjuran syarikatnya sendiri HappeNings (M) Sdn Bhd yang dikhabarkan menelan belanja sebanyak RM1 juta.
Perasaan rindu serta keinginan untuk menyaksikan penyanyi popular ini menyanyi di sebuah konsert solo jelas tergambar apabila jeritan dan sorakan penonton mengiringi kemunculan Ning yang cukup anggun mengenakan pakaian labuh rona lavender.
Untuk persembahan pembukaan, Ning memilih lagu Curiga, sebuah lagu yang menjulang namanya sekali gus meletakkan dirinya sebagai antara penyanyi terkenal pada waktu itu. Persembahan itu kemudiannya diteruskan dengan nyanyian sebuah lagi lagu popular Ning berjudul Dugaanku yang melodi dan liriknya diakui cukup meruntun perasaan.
Sebagai penyanyi yang pernah mengadakan persembahan di dalam dan luar negara, ternyata pengalaman itu digunakan sepenuhnya untuk menjadikan konsertnya seronok ditonton. Bukan saja menghiburkan tetapi Ning juga bijak berkomunikasi dengan penonton.
Tidak semata-mata bertanyakan khabar, penyanyi berusia 36 tahun ini pandai bercerita dan sesekali berjenaka sambil disahut dengan hilai tawa mereka mereka yang mendengarnya. Itulah yang dilakukan Ning sepanjang acara berlangsung. Nyanyiannya akan diselang selikan dengan sesi bersembang dengan penonton membuatkan hampir 600 penggemar yang hadir terasa dekat dengan idola kesayangan mereka itu.
Diiringi oleh empat orang pemuzik yang diketuai oleh Aylwin Santiago sebagai pengarah muzik dan tiga orang penyanyi latar, konsert Ning@KL menuangkan pelbagai rasa kepada penonton. Umum rasanya cukup arif dengan apa yang pernah di lalui penyanyi yang mendapat jolokan Ratu Kontroversi ini. Namun bak kata Ning, segala kontroversi yang dilaluinya itu banyak mematangkan dirinya serta menjadikan dirinya seperti hari ini dan dia tidak pernah menyesal dengan apa yang berlaku.
Selama hampir dua jam persembahan berlangsung, anak kelahiran Kajang, Selangor itu menyajikan pelbagai jenis rentak lagu yang dipetik dari album-albumnya sebelum ini. Malah ada juga lagu yang jarang kedengaran Ning menyanyikannya turut didendangkan pada malam itu. Penjara Kasih, Ke Sayup Bintang, Pasti, In Another Life, Kau Dan Aku, Selagi Ada Cinta dan juga rangkaian lagu rancaknya iaitu Alangkah, Getaran Rinduku, Kata Hati, Drama, Asmara, Percaya, Teguh dan Pada Aksinya berjaya membangkitkan nostalgia penonton lantas bertindak seperti penyanyi latar kepada Ning. Bezanya nyanyian mereka hanya kedengaran dari tempat duduk.
Paling menarik apabila anak kesayangan Satilah Abdullah ini berduet dengan dirinya sendiri menerusi layar lebar sewaktu menyanyikan lagu Beribu Sesalan. Menurut Ning, idea untuk mengetengahkan konsep itu diambil ketika dia menyaksikan konsert Celine Dion di Las Vegas.
"Selama ini orang hanya melihat Ning sebagai seorang selebriti. Menerusi persembahan tadi penonton secara tidak langsung dapat melihat wajah polos Ning yang tidak bersolek. Ning sebagai orang biasa dan bukannya artis," ulasnya ketika ditemui usai persembahan.
Ternyata Ning mempunyai banyak lagu yang sedap dan mampu memikat jiwa pendengar. Sayangnya ia tidak banyak diputarkan di radio. Bagaimanapun, entah mengapa, Ning tidak menyanyikan satu pun lagu dari album Pujaanku walaupun album terbitan LY itu mempunyai banyak lagu yang boleh menjadi halwa telinga.
Dari segi stamina dan vokal, Ning berjaya membuktikan bahawa dirinya masih bertenaga untuk menjayakan konsert berskala mega seperti itu. Meskipun sebelum ini ada suara-suara nakal yang mempertikaikan vokalnya, namun malam itu, Ning berjaya menutup mulut mereka dengan mempamerkan mutu nyanyian yang cukup membanggakan.
Cuma perasaan tidak puas timbul sewaktu Ning menyanyikan lagu Curiga. Adalah lebih baik jika dia melepaskan saja suaranya selantang yang boleh tanpa perlu mengawalnya.
Apabila memperkatakan mengenai Ning, tidak dapat dinafikan selain vokal soprano, imej yang ditampilkannya juga adalah sebahagian daripada tarikan yang ada padanya. Sepanjang konsert itu, penyanyi ini mengenakan lima persalinan yang berteraskan lima jenis bunga yang menjadi elemen dalam konsertnya. Lima jenis bunga itu adalah bunga teratai, bunga matahari, bunga jasmine, bunga ros dan orkid. Bukan saja cantik dari segi rekaan.
Antara rakan artis yang turut memberikan sokongan moral kepada Ning ialah Anuar Zain, Adibah Noor, Ida Nerina, Zahida Rafik, Zizan Nin dan Dina Nadzir. Bagi mereka yang terlepas untuk menyaksikan konsert itu, DVD konsert itu akan dijual secepat mungkin serta sebuah konsert jelajah negara juga akan dilakukan Ning pada tahun depan dengan menjadikan negeri Melaka Bandaraya Bersejarah sebagai lokasi pertamanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana melawat BLOG Komuniti gempakZ. Jom Komen! Untuk mendapatkan "Notification" terhadap topik ini "klik" Subscribe by email.. TQ ^_^