Hi semua! Dalam duk membelek-belek satu forum tu terpandanglah cerita tentang penyanyi pujaan ramai yang seorang ni. Orang kampung waa beb! hehe.. Beliau ialah Amy Search!Wowww... mantaplah persembahan dia baru-baru ini. Tak padan usia sudah 50-an! masih bertenaga setanding orang muda beb! Dia ni memang benar-benar legend. Lagu-lagu dia dah jadi evergreen. Mr.PiNGu sangat meminati Fantasia Bulan Madu. Sekarang ni lagu ini masih lagi menjadi pilihan ramai untuk dinyanyikan semula. Datuk Siti Nurhaliza, Siti Sarah Raisuddin, Razali, Dayang Nurfaizah dan ramai lagi artis telah menyanyikan semula lagu ini. Memang best! Ok. Now korang leh la baca berita penuh seperti dibawah:
Peminat berasa sangat intim dengan cara persembahan vokalis Search
TERBIAS perbezaan pada penampilan Amy Search ketika menjayakan majlis makan malam sempena Hari Bapa anjuran Palm Garden Hotel & Putrajaya Marriott Hotel & Spa.
Selalunya dia bergaya ringkas bersama jeans dan kemeja T, setiap kali membuat persembahan. Bagaimanapun kali ini bagi menyesuaikan diri dengan majlis, Amy tampil cukup segak dengan sepasang sut merah lengkap bersama sepatu kulit juga dari rona yang sama.Majlis bagaimanapun bermula agak lewat. Amy muncul kira-kira jam 9.50 malam iaitu selepas perut peminat yang hadir, kenyang dengan hidangan makan malam cita rasa Barat. Sementara menantikan kemunculan Amy, tetamu terlebih dulu dihiburkan dengan celoteh daripada pelakon komedi Dee yang memikul tugas sebagai pengacara pada malam itu.
Manakala penyanyi yang dicungkil bakatnya menerusi pertandingan Bintang Idola Berita Harian (BIBH), Ad Azhar pula diberi kesempatan membuka tirai persembahan pada malam itu. Jejaka itu menghiburkan penonton dengan empat buah lagu iaitu Sedetik Lebih, Sampai Syurga, Dealova dan Bunga Pujaan.
Tidak muncul dari belakang pentas, penyanyi berusia 53 tahun itu memilih kelainan apabila muncul dari pintu masuk Grand Putrajaya Ballroom. Kehadirannya di tengah-tengah dewan membuatkan tetamu yang hadir terkejut dan menjadi tidak tentu arah.
Mereka tidak menduga Amy akan hadir sebegitu dekat, justeru peluang berkenaan digunakan untuk merakamkan gambar bapa kepada lima cahaya mata dan seorang cucu itu. Persembahan sedemikian adalah yang pertama buat Amy, sebelum ini dia pernah menjayakan persembahan untuk majlis korporat tetapi tidak membabitkan penjualan tiket. Ini adalah yang pertama buatnya dan apa yang membuatkan dia berasa janggal apabila terpaksa muncul sendirian mendendangkan kira-kira 15 buah lagu di dalam sebuah majlis yang formal.
Bangga berstatus datuk
Apa yang membezakan persembahannya pada malam itu dengan majlis korporat yang pernah dijayakan, kata Amy untuk majlis korporat dia selalunya menyanyi antara tiga hingga empat lagu yang disampaikan dengan muzik minus one.
Tetapi pada acara itu pula, dia diiringi pemuzik iringan yang terdiri daripada Edry Hashim (gitar), Kelly (bass), Ujang (dram), Ujang (Bass) dan Roza (Keyboard), disamping tiga penyanyi latar.
Pada usia yang sudah mencecah setengah abad itu, Amy jelas masih bertenaga. Liuk lentok tubuhnya menari mengikut sesuka hatinya adalah antara tarikan yang menghidupkan persembahannya. Dia seakan-akan naik ‘syeh’ pada rembang malam Jumaat itu. Amy juga menyatukan peminat dari pelbagai peringkat umur dan pangkat. Pada malam itu, Amy memperkenalkan kepada penonton, peminat setianya yang sentiasa menyokong walau ke mana saja dia pergi.
Peminat itu akan berada di mana saja Amy berada tidak kira ketika dia membuat persembahan di United Kingdom, malah ketika menunaikan umrah, peminatnya itu juga turut serta. Pada malam itu, Amy kelihatan cukup bangga dengan statusnya sebagai seorang datuk. Kehadiran cucunya Keisha Laila yang sudah pun berusia setahun cukup memberi makna kepada Amy. Jika tidak, masakan berkali-kali dia asyik menyebut statusnya yang kini berpangkat datuk.
“Rahsia saya tidak tua sebab saya tidak suka marah-marah. Isteri juga tahu saya seorang yang ‘cool’. Kadang kala dia selalu bertanya, saya tidak sayangkan dia ke kerana saya tidak pernah menunjukkan rasa cemburu. Mungkin sebab itu saya nampak tidak tua walaupun sudah bercucu,” kata Amy berseloroh.
Amy membuka tirai persembahan pada malam itu dengan mendendangkan sedikit bait lagu Teguh, dia juga tidak ketinggalan menyanyikan lagu Saatku Idamkan, Aku Dah Bosan, Rozana, Tiada lagi, Apa Saja, Gelora, Fantasia Bulan Madu, Kerja Gila, Isabella, Laila Majnun, Kejora dan banyak lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana melawat BLOG Komuniti gempakZ. Jom Komen! Untuk mendapatkan "Notification" terhadap topik ini "klik" Subscribe by email.. TQ ^_^